Politik Pembangkang

 

Datuk Mustafa Ali

 

Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya mengekalkan kuasanya di Sarawak dan meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11. Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, BN dilihat masih memikat hati pengundi Sarawak selain mampu menyelesaikan isu tempatan terutama di kawasan luar bandar.

 

"Saya rasa BN akan terus memerintah Sarawak dan akan menang dua pertiga majoriti dalam PRN11 nanti, mungkin ada kawasan yang akan kalah, tetapi saya yakin BN akan terus kekal di Sarawak," katanya pada sidang media di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.Mustafa berkata, Pas melihat masyarakat Sarawak lebih menumpukan kepada isu tempatan berbanding isu nasional.

 

Selain itu, beliau berkata, faktor kepimpinan yang ditonjolkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Adenan Satem dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan keyakinan kepada rakyat. "Datuk Seri Adenan Satem ini mempunyai feel good factor,  lagi boleh menang di Sarawak," katanya.

 

Mengenai isu menteri besar Terengganu, Mustafa berkata, pilihan terbaik kini ialah mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau mendakwa tindakan menukar Ahmad Razif Abdul Rahman (menteri besar) bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan menimbulkan masalah berterusan dan BN bukanlah memiliki majoriti yang besar.

 

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat Pas tidak campur tangan dalam isu berkenaan. "Pas menyerahkan kepada BN sehingga habis penggal dan biarlah mereka sendiri yang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, kami tidak mahu campur tangan," katanya.

NAMPAKNYA DAP tidak menunggu lama untuk mengambil tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang dilihat seolah-olah menentang Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika sidang DUN November tahun lalu.

Hanya dalam tempoh beberapa bulan, dua daripada mereka ditamatkan perkhidmatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) negeri khabarnya sejak awal tahun ini.

 

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd., sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng pula ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Ben­dera.

Nasib tiga lagi ADUN PKR iaitu Lee Khai Loon (Machang Bubok), T. Jayabalan (Batu Uban) dan Norlela Ariffin (Penanti) yang turut berkecuali ketika undian terhadap usul Barisan Nasional (BN) berkenaan isu tambak laut itu masih belum dapat dipastikan.

 

Setakat ini, ketiga-tiga mereka boleh dianggap selamat kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam GLC negeri seperti Chin Wen dan Kah Peng.

Tetapi mereka masih berada dalam pentadbiran kerajaan ne­geri kerana difahamkan merupakan Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (JK MMK).

Setakat ini, Dr. Norlela sudah mengesahkan beliau tidak lagi dipanggil menghadiri mesyuarat dua JK MMK yang dipegangnya di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1.

Menurut Dr. Norlela, surat pertanyaan berhubung perkara itu sudah dipanjangkan namun tiada sebarang maklum balas diterimanya sehingga kini.

Tidak dapat dipastikan sama ada kegagalan memanggil beliau menghadiri mesyuarat dua JK MMK itu ada kaitan dengan pendiriannya memilih berkecuali dengan usul BN ketika sidang DUN lalu

Tetapi Dr. Norlela mengakui berasa hairan kerana masih dijemput menghadiri mesyuarat Pembangunan Perbadanan Wa­nita Pulau Pinang (PWDC) yang beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya yang berkhidmat secara percuma tanpa melibatkan bayaran elaun.

 

Tidak dapat dipastikan sama ada Khai Loon dan Jayabalan yang difahamkan juga meme­gang jawatan dalam JK MMK turut tidak dipanggil menghadiri mesyuarat atau sebaliknya kerana usaha mendapatkan penjelasan mereka sehingga kini tidak berjaya.

Jika melihat kepada sejarah bagaimana DAP melayan rakan sekutu mereka dalam pembangkang, tindakan terhadap dua ADUN PKR itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sementelah sejak isu berke­cuali dalam sidang DUN itu berlaku, tiada apa-apa tindakan dilihat diambil kepimpinan PKR terhadap kelima-lima ADUN demikian.

 

Sedangkan bagi DAP, tindakan itu memalit arang di muka mereka kerana dinilai cukup memalukan dan memperlihatkan wujudnya ketidaksepakatan yang ketara dalam kerjasama pembangkang di negeri ini.

Maka, tindakan menamatkan perkhidmatan Chin Wen dan Kah Peng itu dinilai banyak pihak perlu dilakukan DAP sebagai pengajaran serta disebabkan ke­pimpinan PKR sendiri seolah-olah enggan bertindak.

DAP sendiri langsung tidak menyembunyikan tindakan mereka terhadap ADUN PKR itu sebagai pengajaran daripada apa yang berlaku ketika sidang DUN lalu.

 

Lihat sahaja kenyataan Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng kepada portal propembangkang ketika diajukan perkara tersebut.

Antaranya, beliau dipetik sebagai berkata: “Sekarang, kita tidak yakin mereka akan dapat berfungsi secara profesional dan berkesan dan jika saya, sebagai seorang Pengerusi, tidak mempunyai keyakinan terhadap anda, maka anda perlu tahulah apa yang patut dibuat.”

Sangat melucukan apabila DAP yang selama ini menggambarkan parti itu cukup terbuka dan demokrasi secara keras mengenakan tindakan terhadap wakil rak­yat kerajaan negeri sendiri hanya kerana berbeza pandangan.

 

Sedangkan isu yang dibangkitkan itu pula iaitu mengenai ke­telusan dalam projek tambak laut adalah isu kritikal kerana sangat rapat dengan kepentingan umum dan dibimbangi penduduk negeri ini.

Tidakkah DAP boleh meletakkan kebimbangan rakyat itu lebih tinggi daripada kerakusan dan keghairahan mereka menunjukkan kekuasaan kepada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka?

 

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan juga bagaimana isu membabitkan lima ADUN PKR ini menjadi peluang terbaik kepada DAP untuk melepaskan rasa marah dan geram terhadap PKR Pusat.

Umum mengetahui DAP selepas memutuskan hubungan politik dengan Pas seboleh-bolehnya mahu pemimpin ter­tinggi PKR mengikut langkah mereka dalam Kerajaan PKR Se­langor.

Ini kerana dalam keadaan ketika ini, adalah pelik untuk dinilai rakyat bagaimana DAP dan Pas masih boleh bersama-sama dalam sebuah pentadbiran kerajaan ne­geri ketika kedua-dua parti itu tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan.

Di Pulau Pinang yang mana DAP menguasai sepenuhnya pentadbiran kerajaan negeri, ahli-ahli Pas sudah pun menerima nasib mereka disingkirkan DAP.

 

Daripada jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sehinggalah kepada peringkat jawatankuasa komuniti, semua ahli Pas didesak melepaskan jawatan masing-masing.

Perkara sama juga sebenarnya diharapkan DAP dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor supaya PKR Pusat memutuskan semua hubungan dengan Pas.

Tetapi setakat ini, PKR enggan tunduk kepada kemahuan DAP dan yang menjadi mangsa ialah lima ADUN PKR itu yang dilabel sebagai pemberontak.

 

Menarik untuk dinilai adalah bagaimana pemimpin tertinggi PKR khususnya Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendepani ke­renah terbaharu DAP ini.

Adakah mereka sekali lagi akan hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja wakil rakyat mereka secara terang-terangan dilabel pemberontak dan dinafikan jawatan dalam kerajaan negeri yang dibentuk secara bersama?

Sehingga kini pelbagai tekanan diberikan DAP terhadap rakan sekutunya khususnya untuk mengambil tindakan segera dalam soal hubungan dengan Pas dalam kerajaan negeri Selangor.

 

Bagi DAP, parti itu tidak berdepan kerugian apa-apa dalam tindak-tanduk mereka yang seolah-olah seperti abang besar dalam pakatan pembangkang.

Sekarang pun mereka boleh menyatakan mampu berharap kepada PAN untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap pembangkang selepas berjaya memecah-belahkan Pas.

Tidak mustahil kemelut lima ADUN PKR ini akan menyaksikan wujudnya parti serpihan baharu daripada PKR seterusnya melumpuhkan parti itu sama seperti dilakukan DAP sehingga terbentuknya PAN yang merupakan serpihan Pas.

 

Sumber: Utusan Online 22 Feb 2016

 

 

Mat Sabu

Presiden PAN, Mohamad Sabu hanya menyerlahkan sifat kurang cerdiknya apabila memperlekehkan orang Melayu yang menyokong Barisan Nasional (BN) sebagai bodoh, bangang dan bahalol.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Mohamad tidak layak menghina kebijaksanaan golongan pertengahan Melayu yang mengundi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) memberitahu, tuduhan yang dilontarkan oleh Mohamad itu hanya layak diucapkan oleh seorang ahli politik murahan.

“Apabila Mohamad menuduh orang Melayu bodoh, kita boleh menganggap beliau 10 kali ganda kurang bijak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkali-kali menyifatkan orang Melayu sebagai bodoh, bangang dan bahalol dalam ceramah semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pakatan pembangkang di Alor Setar, Kedah kelmarin.

Sementara itu, bekas aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin memberitahu, tuduhan yang dilemparkan oleh Mohamad terhadap orang Melayu tersebut boleh menjadi racun kepada keharmonian negara.

Beliau menambah, tidak mustahil tuduhan yang sama akan dilontarkan terhadap kaum-kaum lain yang enggan memuaskan nafsu politik pakatan pembangkang.

“Orang seperti ini tidak layak menjadi pemimpin kepada mana-mana kaum dalam negara kita bahkan beliau hanya layak untuk menjadi pemimpin kepada warga pepatung sahaja,” ujarnya.

Mohd. Riza berkata, Mohamad juga tidak sepatutnya memperlekehkan majoriti rakyat yang menolak demonstrasi jalanan semata-mata untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan Merah Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berpendapat, tuduhan yang biadab tersebut mungkin didorong oleh kekecewaan yang dialami Mohamad setelah PAN yang dipimpinnya tidak mendapat sambutan orang Melayu.

Beliau menjelaskan, orang Melayu tidak boleh menerima tuduhan tersebut kerana ia telah menghina dan menjatuhkan martabat mereka.

“Kita menggesa Mat Sabu memohon maaf kepada semua orang Melayu. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, beliau mesti mengisytiharkan dirinya bukan Melayu,” katanya.

 

Sumber: Utusan Online 20 Feb 2016

Mat Sabu

 

Dalam keadaan terpekik-pekik, Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkali-kali menyifatkan orang Melayu sebagai bodoh, ba­ngang dan bahalol dalam ceramah di Majlis Rumah Terbuka Pakatan Pembangkang Sempena Tahun Baharu Cina, di sini malam tadi.

 

Semuanya gara-gara orang Melayu terutamanya yang berada di kelas pertengahan didakwa menjadi penyebab kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

“Yang paling saya kecewa ialah kelas pertengahan Melayu. Mereka inilah yang susah berubah. Makan gaji sikit, jadi pegawai kerajaan sikit, pertahan pemerintah rasuah. Ini yang saya marah, saya baling mikrofon malam itu.

“Tahun 2013, undi Melayu turun sedikit. Meningkatnya soko­ngan kepada kita sebanyak 52 pe­ratus kerana undi orang Tionghua dan orang India. Tahniah kepada kaum Tionghua atas kesedaran politik.

“Orang Melayu kenapa tak mahu berubah? Takutkah kalau UMNO jatuh, Cina perintah Malaysia? Kenapa bodoh, bodoh, bodoh?” kata­nya sambil disambut sorakan dan tepukan daripada kira-kira 250 hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.

Hadir sama, Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta barisan kepemimpinan pakatan pembangkang di negeri ini dan Pulau Pinang.

 

Tuduhan kerasnya itu kemudian diteruskan lagi terhadap pegawai kerajaan. “Apabila orang Cina hendak ambil alih Malaysia melalui pilihan raya boleh atau tidak? Tetapi berapa ramai pegawai kerajaan boleh percaya? Bangang bin bodoh bin bahalol.

“Tak boleh! Orang Cina hanya boleh memerintah sama ada bersama BN atau pakatan pembangkang. Tak boleh mereka memerintah sendirian,” katanya.

Beliau turut menuduh, semua itu adalah ‘racun’ yang dima­sukkan biro tatanegara dan polis Cawangan Khas (SB).

“SB kerjanya itulah, bawa bekas ahli DAP, Razali (Mohamed Razali Abdul Rahman) diiringi oleh polis pergi berbohong pegawai kerajaan,” ujarnya.

 

Seterusnya beliau membuat perbandingan mengenai sikap rakyat negara ini yang menolak demonstrasi sebagai cara menjatuhkan pemimpin di sesebuah negara.

“Di Filipina rakyat berdemonstrasi hingga Marcos jatuh. Di Indonesia, para pelajar berdemonstrasi sehingga mati enam orang tetapi akhirnya menjatuhkan Suharto dan memulakan era demokrasi.

“Di Thailand rakyat berdemonstrasi menjatuhkan Yingluck Shinawatra sementara di Burma mereka tumbangkan rejim tentera. Rakyat Malaysia bila? Demonstrasi pun tak mahu, pilihan raya pangkah lagi BN. Bodoh, bangang, ba­halol,” katanya

 

Sumber: Utusan Online 18 Februari 2016

 

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad

 

Kepulangan bekas ahli PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) ke pangkuan parti asal sudah dijangka. Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, bagaimanapun enggan menyatakan bilangan ahli PAN yang kembali menyertai PAS. "Apa yang penting, mereka sudah kembali menyokong perjuangan PAS.

 

Tidak perlu kita hebohkan siapa mereka atau berapa ramai bilangannya. "Tidak perlu kita mengungkit sejarah mereka bersama PAN, lupakan sahaja episod berkenaan. "Sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat dan bekerja menumbangkan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada BH di sini, hari ini.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengesahkan ramai ahli PAN akan pulang ke pangkuan PAS dalam tempoh terdekat. Takiyuddin berkata, kebanyakan ahli PAS keliru hingga menyokong perjuangan PAN, namun mereka kembali menyokong PAS secara berperingkat dalam tempoh enam bulan lalu.

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.