Politik Pembangkang

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng didesak tampil memberi penjelasan kononnya Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP walaupun terdapat pelbagai aduan salah laku semasa pemilihan parti itu.

Bekas juruaudit DAP Cawangan Serdang Baru, Yap Kon Min mendakwa parti itu sebenarnya mempergunakan peluang yang ada untuk terus memanipulasi fikiran akar umbi seolah-olah tidak ada sebarang unsur penipuan dalam pemilihan parti.

Menurut Kon Min, rata-rata yang membuat aduan kepada ROS merupakan penyokong tegar DAP sebelum ini, namun kerana tidak tahan dengan pelbagai isu salah guna kuasa dan penyelewangan dalam parti itu, mereka terpaksa lantang sehingga ada yang dipecat.

"Kami mahu Guan Eng jawab mengapa putar belit fakta, kononnya ROS akur dengan pemilihan semula DAP sedangkan ROS awal-awal sudah menafikan perkara tersebut. Kenyataan tidak bertanggungjawab yang telah dikeluarkan oleh Gobind Singh sebenarnya mengelirukan serta mengecewakan pelbagai pihak termasuk ahli-ahli DAP yang mahukan pengadilan.

" Hanya kerana DAP mempunyai ramai pengamal undang-undang dalam partinya, maka kadang-kadang mereka 'naik minyak' dengan menganggap diri mereka itu sebenarnya kebal undang-undang. Jangan pergunakan mahkamah untuk membohongi ahli serta rakyat berhubung kedudukan sebenar pemilihan CEC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.

Kon Min mengulas penafian Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd. Norzam Mustapa menafikan badan itu mengiktiraf pemilihan CEC DAP pada 29 September tahun lalu, malah belum mendapat apa-apa pemberitahuan daripada mahkamah mengenainya sehingga ke hari ini baru-baru ini.

Perkara itu bertentangan dengan kenyataan peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili DAP di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) baru-baru ini, yang mendakwa ROS menasihati dan memperakukan CEC tersebut boleh menjalankan segala kuasa, tugas dan kewajipannya dalam pentadbiran hal ehwal harian parti itu mengikut perlembagaan DAP.

Jelas Kon Min, sehingga kini sebanyak 15 aduan rasmi daripada ahli dan bekas ahli DAP telah dibuat kepada ROS mengenai salah laku termasuk penyelewengan semasa pemilihan CEC dilaksanakan, namun sehingga kini tiada satu maklum balas mahupun hasil siasatan dikeluarkan.

" Saya mohon kepada ROS supaya lebih efisyen dan jangan biar 'diperbodohkan' oleh DAP. Selain menyalahkan ROS dalam kejadian penyewelengan pemilihan pertama dan kedua, pemimpin parti itu juga berlakon seolah-olah telah menjadi mangsa konspirasi kerajaan Barisan Nasional. Segala aduan oleh ahli sendiri tidak diendahkan malah ramai juga telah dipecat kerana lantang mengkritik parti," tegasnya.

Beliau turut menasihati ahli akar umbi DAP supaya tidak berterusan terpedaya dengan tipu muslihat segelintir pemimpin parti itu yang kemaruk kuasa sehingga sanggup menyembunyikan fakta sebenar.

Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang, R. Vellasamy menyoal dakwaan bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong terdapat 120 cawangan DAP yang masih belum mendaftar telah hadir dan mengundi pada pemilihan semula CEC DAP.

Kata Vellasamy, tindakan DAP yang memohon kelulusan 120 cawangan parti itu daripada ROS selepas pemilihan semula CEC itu diadakan pada tarikh berkenaan mengundang pelbagai tanda tanya.

"Jika 120 cawangan tersebut hadir semasa pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, mengapa baru sekarang baru mahu mohon kelulusan daripada ROS?

"Cawangan saya sendiri tidak dibenarkan untuk hadir mengundi pada pemilihan lepas, walaupun saya telah dipecat namun beberapa cawangan saya masih aktif dan sah. Kami juga ingin tahu tentang 500 surat akuan yang dihantar kepada ROS oleh Anthony Loke, apakah statusnya," ujar Vellasamy.


Sumber Utusan Malaysia 5 Oktober 2014

KUANTAN 1 Sept. - Ahli akar umbi Pas Pahang hari ini berhimpun bagi membantah keputusan Pas Pusat mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali bagi mengisi jawatan Menteri Besar Selangor dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusatnya pada 17 Ogos lalu. Kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 30 ahli dan penyokong Pas dari Kuantan, Rompin, Pekan, Kuala Lipis dan Temerloh itu menganggap keputusan pada 17 Ogos lalu telah dimonopoli atau disabotaj oleh puak tertentu dalam parti itu. Ketua kumpulan itu, Mohd. Shaiful Abdullah berkata, mereka mendesak Pas Pusat membatalkan keputusan itu yang tidak mencerminkan pendirian Majlis Syura. - UTUSAN ONLINE Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140901/po_10/Ahli-akar-umbi-Pas-Pahang-bantah-keputusan-Pas-Pusat#ixzz3CAAL55JZ © Utusan Melayu (M) Bhd

 

 

SEREMBAN 31 Ogos - Desakan supaya pemimpin Pas tidak tunduk kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP berhubung krisis jawatan Menteri Besar Selangor terus memuncak apabila ahli dan penyokong akar umbi parti itu di negeri ini mengadakan perhimpunan aman membantah perkara tersebut hari ini.

Desakan itu dilakukan oleh sebahagian ahli dan penyokong akar umbi Pas Kawasan Seremban, Nilai, Rembau dan Kuala Pilah menerusi perhimpunan aman yang diadakan di hadapan Terminal 1 sebagai tanda protes khususnya berhubung keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti pada 17 Ogos lalu.

Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan mesyuarat berkenaan yang mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Azmin Ali bagi mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

Menurut ketua kumpulan itu, Zaidi Zainal Abidin, perhimpunan itu adalah suara akar umbi ahli serta penyokong Pas yang membantah keputusan mesyuarat berkenaan.

"Kami tidak dapat menerima keputusan ini dan membantah sekeras-kerasnya serta mendesak supaya dibatalkan demi maruah Pas.

"Kami amat kecewa dengan sikap sebahagian pemimpin Pas yang tidak menghormati Majlis Syura Ulama kerana mereka lebih takut dan taksub dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Lim Guan Eng,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Zaidi yang juga ahli Pas Kawasan Nilai, keputusan itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti Pas.

"Jika begitu kami mendesak mereka ini supaya keluar daripada Pas dan sertai PKR,'' tegasnya.

Tambahnya, ahli akar umbi juga mendesak pucuk kepimpinan Pas supaya segera menghantar nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, melepaskan jawatan.

"Ini kerana ADUN Pas lebih layak serta lebih bersih untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Kita tidak mahu pemimpin Pas menjadi boneka dan alat mainan bagi parti lain,'' ujarnya.

Pucuk pimpinan Pas perlu memiliki sikap negarawan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pakatan pembangkang. Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, Pas sebagai sebuah parti Islam sepatutnya berfikir di luar kotak dan bukannya melihat dari sudut pertembungan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) atau antara Pas dan UMNO.

 

Menurut beliau, kecenderungan pimpinan tertinggi Pas menelaah situasi krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor dan situasi politik yang lain melalui kerangka pemikiran yang sempit adalah mengejutkan. "Lebih sembilan bulan kepentingan rakyat Selangor dan kebajikan mereka dikebelakangkan kerana agenda PKR dan peribadi Anwar. "Mengapa tidak ramai pimpinan pakatan pembangkang yang berani tegur kecenderungan politik PKR dan Anwar yang mementingkan agenda parti dan individu," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau hari ini. Kelmarin, Jawatankuasa Pas Pusat membuat keputusan untuk mencadangkan nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Keputusan tersebut mengejutkan banyak pihak kerana ia menolak pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang sebelum ini mempertahankan pentadbiran Abdul Khalid.

 

Beliau menambah, rakyat Selangor telah diheret dalam kemelut politik yang tidak berkesudahan khususnya melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan isu air yang dipolemikkan. "Akibatnya, kelancaran pentadbiran kerajaan negeri yang disenangi rakyat terganggu dan merencatkan inisiatif pegawai-pegawai kerajaan yang berdedikasi untuk menjaga kepentingan rakyat," ujarnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memecat serta-merta kesemua Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana didapati cuba mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, menurut Abdul Khalid, beliau masih menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara itu.

Enam Exco yang dipecat itu ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau dari DAP serta Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Alwi dari PKR.

Menurut Abdul Khalid, keputusan itu diambil selepas mendapati keenam-enam Exco terbabit telah membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu pakatan bertujuan mengurangkan kecekapan pengurusan kerajaan negeri.

"Saya telah menulis surat kepada Sultan supaya dapat membenarkan saya tidak meneruskan (membenarkan) Exco-exco ini menjalankan tugasnya (sebagai Exco).

"Saya juga telah menulis surat kepada kesemua mereka kecuali Rodziah kerana beliau kini berada di luar negara," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, keenam-enam Exco berkenaan dalam kenyataan bersama menyatakan akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Exco.

Sambil menegaskan, ia adalah mandat yang ditetapkan parti mereka itu bagi mengelak sebarang perbincangan tentang kedudukan parti masing-masing.

"Selain itu, dalam urusan yang melibatkan kami, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang dilantik.

"Abdul Khalid dan Exco juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan Exco perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Enam Exco itu berkata, kesemua perkara berkenaan akan dilaksanakan serta-merta.

Mereka berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri serta enakmen berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada pakatan pembangkang yang dipilih rakyat.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor, kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada pakatan pembangkang sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang mengambil alih dalam masa terdekat," kata mereka.

 

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.