Politik Pembangkang

PULAU PINANG 9 Jan. – Pelantikan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sekali lagi mencetus kontroversi selepas terdapat individu yang dikatakan tidak layak didakwa dilantik sebagai Ahli Majlis baharu bagi penggal 2015.
 
Menurut sumber dalaman, salah seorang Ahli Majlis MPPP itu yang mengisi kuota parti politik hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
 
Sedangkan menurut beliau, syarat pendidikan paling rendah bagi membolehkan seseorang dilantik sebagai Ahli Majlis adalah perlu sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
 
Dalam masa sama, beliau turut mempersoal kelayakan Ahli Majlis yang mengisi kuota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa turut tidak menepati syarat kelulusan akademik.
 
“Bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang boleh terlepas pandang syarat kelayakan akademik dalam melantik Ahli Majlis MPPP yang baharu sehingga melantik individu yang tidak layak?
 
“Kerajaan negeri perlu menjawab dakwaan ini kerana perkara ini ada kaitan dengan slogan Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) yang kononnya diamalkan mereka selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Selasa lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan pelantikan enam muka baharu Ahli Majlis MPPP bagi penggal 2015 termasuk Yang Dipertua Pas Tanjung, Yacoob Omar yang menggantikan Bendahari Pas negeri, Iszuree Ibrahim.
 
Lima lagi muka baharu termasuk masing-masing dua wakil yang mengisi kuota DAP dan NGO manakala seorang lagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).
 
Iszuree sebelum ini disingkirkan semua jawatannya dalam MPPP selepas terbabit mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung dasar perumahan dalam Muktamar Pas Ke-60 di Johor baru-baru ini.
 
Pelantikan Ahli Majlis MPPP sebelum ini pernah mencetus kontroversi melalui pelantikan Nur Fitriah Abdul Halim pada 2013 yang menimbulkan tanda tanya kerana didakwa dipilih semata-mata bagi mengisi kuota Melayu dan jantina.
 
Pelantikan Nur Fitriah, 26, yang merupakan seorang pereka grafik juga dipersoal banyak pihak kerana didakwa dilantik atas dasar kroni memandangkan beliau juga difahamkan tidak melalui proses temu duga.
 
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan berkata, beliau bukan individu yang layak untuk membuat kenyataan berhubung perkara tersebut.
 
“Pelantikan Ahli Majlis bukan dibuat MPPP tetapi dilantik oleh kerajaan negeri. Jadi saya tidak boleh komen,” katanya.
 
Bagaimanapun, usaha mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi.
 
Sumber: Utusan Online 10/1/2015

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh semua kaum kerana itu adalah pendirian rasmi PR.

Azmin berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut bersetuju bahawa tiada sekatan untuk bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

“Ini adalah pendirian PR. Presiden Pas sendiri pun pernah kata, sepatutnya tiada sekatan yang perlu dibuat ke atas bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Saguhati kepada Pembeli Projek Terbengkalai Taman Bukit Impian (U10), di Hotel de Palma, semalam.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan Guan Eng dan mendakwa bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah ALLAH di Pulau Pinang.

Anwar dilaporkan sebagai berkata, sarjana terkemuka Islam, termasuk Dr Sheikh Yusof Qardawi sudah menyatakan keterbukaan mereka terhadap penggunaan kalimah itu di kalangan bukan Islam.

Sementara itu Azmin berkata, apa yang Guan Eng kata itu benar dan ia selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Majlis Pimpinan PR.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa ketetapan sedemikian tidak diguna pakai di Selangor, sebagaimana yang dilakukan Guan Eng di Pulau Pinang.

SHAH ALAM - Pas tidak akan menarik kembali  perjuangan untuk melaksanakan hudud walaupun mendapat tentangan daripada rakan komponen, DAP.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perjuangan Pas terhadap isu itu bukan baru tetapi sudah melangkaui 20 tahun.

Menurutnya, pelaksanaan hudud sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Kerajaan Pusat dan tiada sebab untuk Pas menghentikannya.

“Dulu... kita dapat 'lampu merah', macam-macam dihalang. 20 tahun Pas terus berusaha untuk hudud. Tetapi sekarang BN dah buka jalan. Kita juga sudah melepasi negeri, jadi tidak ada sebab untuk mana-mana pihak nak mintak Pas berhenti.

“Konsensus negeri (Kelantan) juga sudah setuju di mana Umno dan Pas setuju untuk laksanakan (hudud), seharusnya keputusan ini dihormati,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas memegang dasar demokrasi dan yakin untuk bentangkan Rang Undang-undang mengenai hudud di Parlimen.

Pas hari ini membidas DAP sambil menyarankan parti itu keluar dari pakatan pembangkang sekiranya ia tidak selesa dengan perjuangan parti itu untuk melaksanakan hudud.
   
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, DAP dialu-alukan untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
   
"Kita (Pas) tak akan keluar dari pakatan pembangkang. Kalau dia (DAP) tak selesa dan rasa tak boleh menang dengan pakatan pembangkang, mereka boleh keluar bila-bila masa.
   
"Tak jadi masalah kepada kita dan kita tak akan tukar perjuangan kita (laksanakan hudud), kita tak akan korbankan perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
   
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang mahu pakatan pembangkang jelaskan pendirian bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang pada PRU14.
 
Mohd Amar berkata DAP perlu menghormati perjuangan Pas yang selama ini ingin
melaksanakan hukum hudud di Kelantan.   

"Resolusi yang dibuat itu untuk DAP dan bukan untuk Pas, kita ada perjuangan kita sendiri dan mereka tidak boleh paksa kita.
   
"Ia (resolusi) adalah untuk anggota dan pemimpin mereka, DAP perlu hormat rakyat Kelantan dan perjuangan Pas kerana isu hudud ini dah wujud sebelum pakatan pembangkang wujud," katanya.
   
Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Disember ini.- Bernama

Nasrudin Hassan (tiga dari kiri) mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat membantah sekeras-kerasnya feastival arak, Oktoberfest anjuran Calsberg yang dirancang di tempat letakereta di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada 10 hingga 12 Oktober 2014. Yang turut hadir bersama-sama menyerahkan memorandum adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad.

 

PEMIMPIN DAP DAN PKR TIDAK PEDULI BANTAHAN DEWAN ULAMA PAS

Kehadiran beberapa pemimpin kanan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke acara Oktoberfest di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya malam tadi menunjukkan mereka seolah-olah tidak menghormati pendirian Pas yang membantah penganjuran pesta arak tersebut.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen yang menghadiri acara berkenaan menjelaskan, tindakan mereka itu adalah untuk mempertahankan hak golongan yang meminum arak.

"Saya tidak minum arak tetapi saya percaya bahawa kedua-dua golongan yang meminum arak dan yang tidak minum mempunyai hak masing-masing.

"Cuma jangan paksa orang lain mengikut kemahuan anda," katanya menerusi status pada laman Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, antara pemimpin pakatan pembangkang yang menghadiri acara Oktoberfest ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Majlis Pimpinan PKR, R. Sivarasa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R. Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Komen:

Minta penyokong-penyokong dan setiap ahli PAS fikir-fikir banyak kali adakah tahaluf siyasi yang didewa-dewakan pemimpin PAS itu menguntungkan Islam atau merugikan Islam. Sudah banyak isu dan sensitif berlaku sejak PAS bersama PR didapati PAS seolah-olah 'melukut ditepi gantang'. Kepimpinan PAS tidak dilibatkan dalam membuat keputusan-keputusan besar bagi PR. Namun PAS masih menyondol kerana mengharapkan dalam pakatan sekurang-kurangnya memberi sedikit 'kekuatan PAS' bukan kekuatan Islam. Tapi PAS masih berkira-kira untuk meneruskan lagi tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP seperti mati hidup PAS mesti berasama dengan PR.

 

 

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.