Politik Pembangkang

SHAH ALAM - Pas dan DAP dinasihatkan tidak lagi mengelirukan rakyat dengan mengadakan 'pernikahan' politik bersifat sementara sehingga menjejaskan keyakinan rakyat dan menggugat pentadbiran negeri yang dikuasai.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, adalah lebih baik jika dua parti itu kekal berasingan sebagai pembangkang berhaluan sendiri.

"Mana mungkin parti yang cita-cita politiknya terlalu jauh duduk semeja berbincang. Ini yang berlaku apabila gabungan politik terbina atas retorik dan niat tidak tepat.

"Akhirnya ia membawa putusnya persahabatan politik dibina. Boleh diibaratkan 'politik ulang tayang' atau 'politik siaran tertunda'," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sejarah politik negara membuktikan bahawa kerjasama politik antara pembangkang termasuk Pas dan DAP akan membuatkan pakatan itu tidak kekal.

"Seperti diduga, dunia politik pembangkang tidaklah sekuat keazaman BN menempuh kerjasama sesama parti. Sejarah pembubaran parti pembangkang sentiasa berulang.

"Menjadi tabiat pembangkang yang tidak kekal dengan kerjasama sesama mereka. Sejarah politik menyaksikan jika ada parti atau pemimpin baharu pembangkang mahu mengadakan kerjasama terhadap Pas dan DAP, maka ia akan gagal," katanya.

Jelasnya, pembubaran PR memberikan impak besar bukan sahaja kepada kerjasama sesama parti tersebut, tetapi melibatkan persoalan pembubaran ikatan kongsi kuasa di Pulau Pinang dan Selangor.

"Tempias paling utama mengenai kedudukan Kerajaan Selangor serta akan memberi gambaran ketidaktentuan hala tuju dan dasar negeri itu. Ia mengganggu kelancaran tadbir politik negeri dan membantut usaha menarik pelaburan.

"Ini memungkiri mandat diberikan rakyat berasaskan kerjasama Pas dan DAP bersama PKR. Tiga parti perlu bertanggungjawab," katanya.

 

Sumber: Sinar Harian Online 3/7/2015

BUKIT MERTAJAM: Biarpun Pakatan Rakyat telah diisytihar tidak lagi wujud, namun kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR masih diteruskan, kata Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada surau dalam Parlimen Permatang Pauh di Masjid Jamek Kampung Pelet dekat sini hari ini,

 

Dr Wan Azizah berkata beliau mempunyai pandangan optimis terhadap semangat yang ada dalam pakatan pembangkang. Rabu lepas, beliau dilaporkan mengakui bahawa gabungan politik pakatan pembangkang tidak lagi berfungsi secara formal.

 

Keadaan itu, katanya, berlaku berikutan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas pada Muktamar PAS Ke-61, manakala Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula telah mengumumkan 'penamatan riwayat' Pakatan Rakyat. Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan pembacaan dan pengamatannya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS sama ada yang tewas atau menang dalam pemilihan jawatan parti itu, mereka telah memberi mesej bahawa ketiga-tiga parti terbabit akan terus bersama. Selasa lalu,

 

DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan yang dibuat Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' Pakatan Rakyat. - BERNAMA

 
 
 GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan pelantikan dua ahli PAS yang berkhidmat sebagai ahli Majlis dalam kerajaan tempatan di negeri ini. Dua wakil PAS itu ialah Yang Dipertua PAS kawasan Tanjong, Yaacob Omar yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, berkata pembatalan pelantikan dua wakil PAS itu dibuat selaras dengan subseksyen 10(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976. "Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat maklum mengenai pembatalan itu semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Kedua-dua ahli PAS itu dilantik sebagai ahli Majlis atas penamaan PAS pada Januari lepas.
 
Langkah kerajaan negeri pimpinan DAP itu berikutan kemelut dalam pakatan rakyat apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengisytiharkan pakatan rakyat tidak lagi wujud setelah PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar PAS lepas.
 
Pada Isnin, wakil PAS Mohd Nasir Yahya melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis MBPP dan pada Selasa seorang lagi wakil PAS, Dahalan Fauzi meletak jawatan sebagai ahli MPSP. Pada 6 Jun lepas, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, melepaskan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub. Langkah Mohamad itu diikuti Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meletak jawatan sebagai ahli Lembaga Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang. Setiausaha PAS Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu pula ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Jumaat lepas.
 
Sementara itu, Lim yang juga Ketua Menteri, pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, berkata seorang lagi ahli PAS iaitu Datuk Salleh Man masih anggota kerajaan negeri Pulau Pinang. Salleh yang juga satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS dalam kerajaan negeri pimpinan DAP adalah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. "Kesahihan kedudukan (Salleh) telah disahkan dalam mesyuarat bersama 30 wakil rakyat penyokong kerajaan petang semalam," katanya. Bagaimanapun, Lim yang diasak dengan soalan berhubung kedudukan Salleh itu enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta wartawan bertanya sendiri kepada wakil rakyat Permatang Pasir itu. Lim berkata, pada mesyuarat petang semalam, semua 30 wakil rakyat yang hadir dimaklumkan mengenai keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri yang menerima bahawa pakatan rakyat tidak lagi wujud berikutan usul pada Muktamar PAS itu dan menolak usul Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP. - BERNAMA
 
 

SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Kit Siang melahirkan rasa pelik apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PR masih wujud sedangkan pemimpin parti Islam itu yang ‘merosakkan’ perikatan pembangkang itu.

Menurutnya, kerana sikap Abdul Hadi yang mengkhianati kerjasama mereka selama ini telah menyebabkan PR tidak berfungsi dengan baik sejak setahun lalu.

“Tapi saya pelik apabila Hadi dakwa PR masih wujud apabila beliau telah merosakkan PR dengan mengkhianati kerangka kerjasama PR juga dasar konsensus PR.

“Hasilnya, Majlis Pimpinan PR tidak dapat berfungsi setahun lalu menyebabkan PR hanya wujud pada nama sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi Awang menyifatkan PR masih lagi wujud apabila masih ada kerjasama di antara Pas dan PKR, walaupun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut sudah berakhir kerana pakatan itu ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti dan apa sahaja keputusan perlu dicapai secara bersama, bukannya secara bersendirian.

Dalam kenyataan sama, Kit Siang memberitahu meskipun tiada lagi PR, matlamat rakyat Malaysia dapat dicapai dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak mahu membincangkan secara terperinci kerana kami mahu teruskan perjuangan dan berpegang pada harapan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan  bagi memastikan walaupun tiada lagi RP, kerangka kerjasama PR untuk perpaduan negara, keadilan dan kemakmuran rakyat Malaysia kekal dicapai dalam PRU14,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian Online 20 Jun 2015

 

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli yang dikaitkan sebagai antara lima pemimpin tertinggi Pas sebagai dalang untuk menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dihubungi enggan mengulas isu berkenaan.

 
Beliau berkata, tiada sebarang komen yang boleh diberikan kepada pemberita pada masa ini. 
 
“Tidak ada, tidak ada. Hari ini tidak akan komen,” katanya ringkas.
 
Pagi tadi, Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendedahkan komplot jahat yang didakwa dilakukan untuk menguasai Pas Pusat serta menjatuhkan Abdul Hadi dan nama Dr Mohd Hatta antara salah satu yang didedahkan.
Sumber: Sinar Online 9 Feb 2015

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.