Politik Pembangkang

 

Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan bahawa hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal.

 

Setiausahanya, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata mesyuarat majlis berkenaan bagaimanapun mengekalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, Majlis Syura Ulama kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP mengecam dan melanggar semangat kerjasama pakatan rakyat.

 

Nik Muhammad Zawawi berkata badan itu juga mendapati DAP juga telah campur tangan dalam soal aqidah, dasar dan matlamat Pas.

KUALA LUMPUR 6 Julai – Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinasihat memperbetulkan perpecahan pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum berhasrat mengadakan pertemuan tergempar bersama dengan semua Ahli Parlimen bagi membincangkan hala tuju politik negara esok.

Shahrir

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, hasrat Wan Azizah untuk berbincang mengenai tuduhan-tuduhan liar oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah tindakan terdesak untuk menutup kelemahan pembangkang.

“Dr. Wan Azizah patut betulkan ‘rumah’ dia dahulu, dia merupakan Ketua Pembangkang tetapi DAP sudah isytihar pakatan pembangkang telah tidak wujud lagi dan sudah memutuskan hubungan dengan Pas. Jadi, betulkan rumah sendiri, jangan nak panggil kita kononnya atas kepentingan negara dan rakyat tetapi sebenarnya cari nama untuk diri sendiri.

“BNBBC akan tetap memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri kerana BNBCC memberi taat setia kepada negara serta Perlembagaan Persekutuan dan bukannya kepada media asing,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di laman portal BNBBC.my hari ini.

Shahrir mengulas hasrat Wan Azizah yang merupakan Presiden PKR untuk mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen di bangunan Parlimen esok bagi membincangkan hala tuju politik negara termasuk dakwaan WSJ terhadap Perdana Menteri.

Menurut Shahrir, Wan Azizah tidak perlu mengadakan pertemuan itu kerana laporan daripada media asing berkenaan tidak berasaskan daripada bukti kukuh yang sahih.

“Dalam keadaan Ketua Pembangkang tidak mendapat sokong­an penuh Ahli Parlimen pembangkang, sekarang hendak diajak pula Ahli Parlimen BN? Keadaan ini menunjukkan politik ‘oportunis’ pembangkang yang menggunakan media asing untuk bertindak dan bukannya berpandukan pada undang-undang,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online 7 Julai 2015

 

GEORGETOWN - Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang bersedia menghadapi tindakan undang-undang daripada kepimpinan Pas berikutan pemecatan wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Keputusan Pas untuk saman kerajaan negeri bukan satu perkara yang menghairankan dan kami bersedia menghadapi mana-mana pihak di mahkamah," kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita di sini hari ini.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof dalam kenyataannya semalam berkata Pas akan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung isu pemecatan wakil parti itu dalam pentadbiran negeri.

Bulan lepas, kerajaan negeri memecat Timbalan Pesuruhjaya I Pas Pulau Pinang Mohd Fadzil Kemi daripada jawatan Pegawai Penerangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Pejabat Ketua Menteri serta wakil-wakil Pas dalam dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Pemecatan itu berikutan keputusan Muktamar Pas baru-baru ini meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP yang sebelum itu telah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ketegasannya mahukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud di Kelantan. - Bernama

 

PULAU PINANG 2 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri kini bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang sebaliknya dikenali kerajaan negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng Menurut Guan Eng, perkara itu dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) semalam yang dihadiri kesemua 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang.

 

Turut dicapai dalam mesyuarat itu, katanya, keputusan tidak bersetuju dengan usul Muktamar Pas ke-61 baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP. Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan, mesyuarat Exco semalam juga memutuskan untuk menerus dan mengekalkan urus tadbir kerajaan negeri Pulau Pinang seperti biasa berdasarkan dasar bersama pembangkang yang digubal pada 2009.

 

Menurutnya, urus tadbir kerajaan negeri kini juga adalah berlandaskan manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). "Kita juga menerima bahawa pakatan pembangkang sudah tidak wujud lagi berikutan usul Muktamar Pas tersebut. "Dalam mesyuarat bersama 30 ADUN yang menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 18 Jun lalu termasuk ADUN Permatang Pasir daripada Pas, semuanya menyokong ketiga-tiga ketetapan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dengan keputusan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merupakan kerajaan campuran dengan persetujuan 30 ADUN iaitu 19 daripada DAP; 10 daripada PKR dan seorang daripada Pas. Baki 10 lagi ADUN iaitu daripada keseluruhan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang adalah daripada Barisan Nasional (BN). Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya mengisytiharkan pakatan pembangkang tidak lagi wujud berikutan Muktamar Pas meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Serentak itu juga, DAP memberi tekanan kepada ahli-ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri untuk melepaskan jawatan masing-masing termasuk sehingga memecat beberapa orang antara mereka.

 

Sumber: Utusan Malaysia Online 3 Julai 2015

PULAU PINANG 3 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini diarah membayar sebanyak RM500,000 kepada Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid sebagai ganti rugi kerana menggelar beliau sebagai nenek rasis.

 

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Nordin Hassan yang membuat keputusan itu turut mengarahkan Guan Eng membayar kos guaman sebanyak RM40,000 berserta faedah sebanyak lima peratus. Selain itu, Nordin turut mengarahkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, menarik balik gelaran terhadap Jahara selain mengeluarkan injunksi menahannya daripada mengulangi kata-kata fitnah.

 

Jahara sebelum ini memfailkan saman selepas Guan Eng pada 10 Disember 2013 dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menggelarkan Jahara sebagai 'nenek rasis'. Gelaran itu dibuat Guan Eng kerana Jahara dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu. Guan Eng kemudiannya memohon maaf kepada Jahara tetapi hanya untuk gelaran 'nenek' namun tetap menyifatkan Jahara sebagai seorang yang rasis.

 

Dalam saman fitnah berkenaan, Jahara yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar turut memohon perintah injunksi untuk menghalang Guan Eng daripada berterusan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya selain mahu perkara berkenaan tidak berulang. Bagi kes itu, Jahara diwakili peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunos. - UTUSAN ONLINE

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.