Politik Pembangkang

 

 

KOTA BHARU 2 Sept. – Pengerusi Parti Pekerja Malaysia (Parti Pe­ker­ja), Mohamad Sabu me­nyi­­fatkan orang Islam kini lebih gemar memperbesar-besarkan isu remeh se­perti gambar beliau de­ngan seorang wanita Cina pada perhimpunan haram Bersih 4.0 baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan peserta perhimpunan itu termasuk wanita Cina bergambar dengan beliau adalah situasi biasa yang tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Baru-baru ini perhimpunan Bersih, orang ratus ribu, saya bila turun dalam keadaan orang ramai, terutama sekali peserta Cina datang ingin bergambar. Adalah seorang wanita Cina ini datang ambil gambar sandar dekat bahu kita, itu jadi isu besar sekarang.

“Inilah orang Islam sekarang, dia tengok benda macam ini, dia bukan tengok isu lain yang lebih besar," katanya ketika menyampaikan ceramah parti itu di Pasir Tumboh, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Pekerja, Salahuddin Ayub; Naib Pengerusinya, Hasanuddin Mohd. Yunus; Ahli Jawatankuasanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Baru-baru ini tersebar di laman-laman sosial gambar bekas Timbalan Presiden Pas itu dalam keadaan mesra dengan seorang wanita Cina pada perhimpunan haram Bersih 4.0 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang keahliannya terlucut secara automatik dalam Pas berkata, beliau menghalalkan segala perjuangan dan khidmatnya bersama parti tersebut sejak 37 tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau juga mengakui sedih meninggalkan parti lamanya itu, namun tetap akan meneruskan perjuangan melalui wadah lain seterusnya bekerjasama dalam gabungan pakatan pembangkang baharu.

“Selama 37 tahun dalam parti (Pas) bukan senang nak pergi kepada wadah Islam tetapi bot lain (Parti Pekerja). Sekarang saya tengok markas Pas air mata masih mengalir, markas mana yang saya tidak pergi memberi ceramah untuk kutip derma.

“Tapi kadang-kadang, kawan-kawan, adik-adik (dalam Pas) mereka bersikap kasar macam halau kita. Saya kata, saya tidak lantik peguam untuk tuntut harta sepencarian (selama dalam Pas), kalau tuntut, saya tidak tahu ba­nyak mana.

“Apapun, apa saja khidmat saya dalam Pas, segala bentuk jasa, pengorbanan saya tidak akan ungkit, halalkan semuanya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad dalam sidang akhbar selepas ceramah itu berkata, sokongan orang ramai terhadap Parti Pekerja di seluruh negara sangat menggalakkan.

 

Sumber: Utusan Malaysia Online

 

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pas bersedia meninggalkan PKR sekiranya sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).

HARON DIN

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu seperti yang diumumkan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan Pas.

Menurut beliau, sekiranya penubuhan pakatan pembangkang baharu itu menjadi kenyataan, Pas tidak akan membantah tindakan tersebut.

“Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang.

“Kalau mereka hendak me­nu­buhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini membayangkan tentang penubuhan pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan GHB.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan, Pas tidak akan dilibatkan dalam pakatan baharu tersebut atas alasan parti berkenaan ‘menjadi punca kematian pakatan pembangkang’ sebelum ini.

Haron menambah, pakatan pembangkang sebenarnya mulai retak sebaik sahaja DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan langkah serupa diikuti oleh DAP Sarawak.

“Penting untuk saya sebut perkara ini kerana akhir-akhir ini orang kata Pas yang menjadi punca terburainya pakatan pembangkang,” jelasnya.

Beliau juga yakin Pas akan tetap berdiri teguh di atas landasan perjuangan menegakkan Islam walaupun kumpulan serpihannya akan menubuhkan parti baharu melalui wadah GHB.

Haron memberitahu, keyakinan itu adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Ra’d ayat 17 yang bermaksud:

“Allah memberi perbandingan untuk mengetahui siapa yang hak dan siapa yang batil, ada pun buih akan pergi tanpa kekuatan dan hilang tersisih daripada wujud dan apa yang bermanfaat kepada manusia, maka akan kekal teguh sepanjang zaman.”

Beliau berkata, situasi seru­pa pernah dialami Pas apabila kumpulan-kumpulan serpihannya me­ning­galkan parti untuk me­­nubuhkan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim).

“Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya,” ujarnya.

 

Sumber: Utusan Online 26/7/2015

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu menyifatkan parti PAS tidak relevan pada masa kini dalam landskap politik negara. Katanya ini adalah kerana PAS masih menggunakan kaedah lama dalam berpolitik sedangkan rakyat berbilang kaum turut terlibat dalam proses membuat keputusan.

 

Oleh kerana itu Mat Sabu menubuhkan sebuah parti yang kononnya relevan dengan tuntutan politik semasa. Baru kali ini baru kita dengar Mat Sabu mengatakan parti PAS tidak relevan. Apakah ini juga bermakna PAS yang memperjuangkan parti berdasarkan al-Quran dan sunnah SAW juga dianggap tidak relevan?

 

Jika tidak relevan perjuangan PAS pada hari ini, apakah PAS dahulu semasa Mat Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS itu relevan? PAS hanya relevan semasa Mat Sabu dan rakan-rakan G18 berada dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Setelah majoriti perwakilan PAS menolak mereka dalam muktamar PAS baru-baru ini secara otomatik PAS yang dipimpin oleh golongan ulamak tidak relevan lagi.

 

Mat Sabu dan rakan-rakan yang tidak dipilih dalam muktamar PAS baru-baru ini telah berhasrat menubuhkan parti baru yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB). DAP kelihatan gelak ketawa berdekah-dekah kerana berjaya memecahbelahkan PAS yang cuba menegakkan perjuangan Islam. DAP sangat gembira kerana ada parti baru menggantikan PAS yang diperintah oleh ulamak.

 

Yang peliknya kenapa rakan-rakan Mat Sabu tidak mengisytiharkan diri keluar daripada PAS. Kenapa masih berada dalam PAS sedangkan pada masa yang sama menghentam PAS? Ini kerja 'budak jahat' yang merosakkan parti dari dalam parti. Jika sudah tahu PAS tidak relevan kenapa masih kekal menjadi ahli PAS? Jika pemimpin yang baik dan menghormati kehendak majoriti Mat Sabu sepatutnya masih berada dalam PAS dan gunakan saluran yang sah untuk mengkritik kepimpinan PAS sedia ada. Sebaliknya Mat Sabu menubuhkan parti baru menggantikan PAS dalam PR.

 

Jika beginilah kerja Mat Sabu dalam politik negara, yang tidak relevan adalah Mat Sabu bukan PAS. Parti PAS masih kekal relevan dengan perjuangan Islamnya berlandaskan al-Quran. Jika Mat Sabu mengatakan perjuangan PAS tidak relevan, apakah bermakna Mat Sabu mahu mengatakan ajaran Al-Quran tidak relevan dengan zaman ini?  

 

 

 

 

 

 

 

Pihak pembangkang dicabar membuat penafian bahawa tiada pemimpin pembangkang khasnya pemimpin DAP bertemu dengan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat sulit. Jika Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agong DAP yang belum disahkan tidak berbuat demikian sekali gus menunjukkan kepada rakyat bahawa dakwaan itu adalah benar.

 

Percaya atau tidak polis Thailand telah pun membuat pengesahan bahawa Justo telah mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam pakatan pembangkang Malaysia sebelum menjual maklumat sulit milik syarikat itu. Semalam, jurucakap Polis Diraja Thailand, Pol Lt Gen Prawut Thavornsiri memberitahu sidang media di Bangkok bahawa Justo mengaku mengadakan pertemuan tersebut di Singapura.

 

Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Thailand di pulau peranginan terkenal, Koh Samui, pada 22 Jun lepas, selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

 

Dalam perkembangan berkaitan, bekas wartawan Leste Melanyi mendakwa bahawa Sarawak Report memalsukan laporan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Jika benar ini menunjukkan wujud satu konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Semalam melalui Berita TV3, Ketua Polis Negara memberitahu pembabitan rakyat Malaysia bersekongkol dengan Justo di Singapura membeli dokumen palsu berkaitan 1MDB. Tony Pua adalah pemimpin pembangkang yang dimaksudkan. Tony Pua didesak untuk menafikan segera jika dia tidak terlibat.

KUALA LUMPUR 14 Julai – Mana-mana pemimpin dan ahli Pas yang berhasrat menyertai parti baharu di bawah Gerakan Harapan Baharu diingatkan untuk meneliti kembali baiah kesetiaan yang diberikan mereka kepada Pas.

Mahfodz Mohamed

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, baiah bukan hanya diberikan semasa seseorang ahli Pas itu bakal bertanding menjadi wakil rak­yat, malah ketika seseorang itu mendaftar dan mengisi borang keahlian parti.

Katanya, baiah atau ikrar janji setia menuntut ahli-ahli parti untuk taat dan patuh kepada ke­pimpinan parti.

“Baiah lazimnya menyebut mengenai soal menjaga kerahsiaan parti tetapi ada juga baiah yang lama-lama dahulu boleh menyebabkan perceraian suami isteri sekiranya dilanggar.

“Soal baiah ini tidak boleh dibuat main-main. Cuba teliti kembali apa yang sudah dibaiahkan, maka perlu dijaga perkara ini be­tul-betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, bekas Timbalan Pre­siden Pas, Mohamad Sabu mengumumkan inisiatif Gerakan Harapan Baharu yang dipengerusikannya bagi menubuhkan sebuah parti politik Islam baharu untuk bergerak dalam pakatan pembangkang.

Menurut Mahfodz, mana-mana wakil rak­yat daripada Pas yang berhasrat menyertai parti baharu itu sewajarnya memiliki integriti untuk mengisytiharkan keluar daripada Pas dan seterusnya meletakkan jawatan bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili.

“Golongan ini perlu ingat yang mereka ini menang de­ngan tiket Pas. Mereka bukan menang dengan tiket DAP, tiket PKR atau tiket pakatan. Oleh itu, kalau mereka mahu sertai parti baharu, mereka perlu letakkan jawatan dan kosongkan kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfodz turut menempelak gerakan berkenaan yang menggunakan markas-markas Pas serta kemudahan-kemudahan parti bagi menghasut ahli-ahli Pas keluar daripada parti.

Katanya, beliau melihat golo­ngan yang hendak menubuhkan parti baharu berkenaan adalah daripada kalangan yang kecewa kerana tewas dalam pemilihan parti Pas bulan Jun lalu.

“Saya bimbang kerana dalam parti baharu itu pun nanti akan ada pemilihan pucuk pimpinan parti, adakah kalau mereka tewas dalam pemilihan itu nanti, golo­ngan itu akan tubuh lagi satu parti baharu?

“Sikap mereka ini akan jadi bahan ketawa sedangkan Pas terus istiqamah mempertahankan dasar Islam dan mendaulat syariat Islam bersumberkan al-Quran, as-sunnah, ijmak dan qias,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia Online 15 Julai 2015

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.