Politik Pembangkang

Pas menegaskan parti Islam itu akan terus berperanan sebagai pembangkang dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN kerana tragedi pembunuhan beramai-ramai ahli dan pimpinannya dalam peristiwa Memali yang genap 30 tahun, hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.

“Peristiwa Memali ini tetap dikenang sebagai lambang kezaliman kerajaan Umno-BN ke atas pimpinan dan ahli-ahli Pas. Sejarah sedih ini tetap tidak akan dilupakan walaupun kerajaan pernah mengeluarkan arahan melarang majlis memperingati peristiwa sedih ini.

“Meskipun 30 tahun sudah berlalu, kezaliman Peristiwa Memali ini akan tetap dituntut di akhirat. Pemimpin yang terlibat dan pasukan tentera yang menjadi alat kepada tindakan zalim ini mesti diadili,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, hari ini tercatat dalam sejarah sebagai hari yang sangat menyayat hati 30 tahun lalu di Kampung Siong, Memali Baling Kedah.

Seramai 14 penduduk kampung terkorban mempertahankan Ibrahim Libya dalam peristiwa yang dikenali sebagai Peristiwa Memali.

“Hak mereka mesti dikembalikan. Pemimpin yang terlibat mesti dihadapkan ke mahkamah dunia sebelum mereka dihadap ke mahkamah ALLAH di akhirat.

“Sementara peluang masih terbuka, Pas berharap mereka yang terlibat bertaubat, memohon maaf kepada waris yang terlibat dan ganti rugi mesti dibayar,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Online 19 Nov. 2015

Kerajaan DAP Pulau Pinang mengesahkan sudah memecat semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ahli Pas di Kepala Batas bukan meletak jawatan seperti didakwa sebaliknya mereka sudah dipecat sebelum ini.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Rashid Hasnor berkata, pemecatan berkenaan meliputi ahli Pas di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Barat.

 

Kerajaan negeri membuat semakan sama ada ahli-ahli Pas ini menyokong pakatan pembangkang baharu atau sebaliknya.

Mereka yang masih sokong Pas kemudian telah diberi surat pemecatan, katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

 

Sumber: Utusan Online 18/11/2015

PERMATANG PAUH 15 Nov. - Pas Kawasan Permatang Pauh membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man yang didakwa menyokong pembangkang pimpinan DAP di negeri ini.

 

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pas kawasan itu 9 November lalu selepas Mohd. Salleh yang merupakan satu-satunya ADUN Pas di negeri ini membuat kenyataan terbuka menyokong pakatan pembangkang baharu yang dipimpin DAP awal bulan ini. - UTUSAN ONLINE

MUHAMMAD FAUZI YUSOF

 

PULAU PINANG 29 Okt. - Pas negeri menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sengaja membangkitkan isu lapuk serta tidak berasas semata-mata untuk menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, kenyataan Guan Eng semalam bahawa Pas dan UMNO kini sedang menuju ke arah Kerajaan Perpaduan merupakan putar belit politik yang tidak mempunyai kepentingan terhadap rakyat negeri ini yang dihimpit pelbagai masalah lain.

Katanya, isu berkenaan tidak wajar dibangkitkan kerana sebenarnya banyak isu lain yang membelenggu rakyat negeri ini termasuk masalah umat Islam yang gagal diselesaikan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Apa asas Guan Eng bercakap begitu? Bagi saya, dia sengaja membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan kerana mahu tutup isu lain termasuk bantuan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang ditarik balik kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri prosiding kes Bendahari Pas negeri, Iszuree Ibrahim yang mencabar pemecatannya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, sehingga kini, masih tidak ada penjelasan mengenai penarikan bantuan di dua buah SAR negeri ini dan pihaknya yakin perkara itu dilakukan oleh 'tangan-tangan ghaib'.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,

Datuk Seri Zainal Abidin Osman bahawa parti itu sedia bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan Islam di negeri ini,

Muhammad Fauzi berkata, kerjasama itu harus dilihat dalam skop yang luas.

Katanya, di pihak Pas negeri, mereka terlebih dahulu mahu mendengar pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung beberapa isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkait rapat dengan rakyat.

Sumber: Utusan Malaysia Online 

PETALING JAYA - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menerima tamparan apabila DAP Selangor memberi kata dua untuk memecat wakil rakyat Pas dari pentadbirannya.

Ini berikutan seorang perwakilan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh memecat wakil rakyat Pas daripada Kerajaan Selangor atau DAP sendiri akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong berkata, Pas sudah memungkiri janji dalam Pakatan Harapan dan mahu pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Mohamed Azmin untuk pecat wakil rakyat Pas atau DAP keluar dari pentadbiran kerajaan negeri.

"Sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat Pas Selangor, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada Kerajaan Selangor.

"Bagaimanapun terpulang kepada pimpinan tertinggi DAP menetapkan tempoh masa kepada Azmin, tetapi ia harus dilaksanakan dengan segera," katanya semasa sesi bahas dalam Konvensyen Tahunan Negeri Selangor 2015 di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, DAP Selangor mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berhubung keputusan parti itu yang mahu bertanding merebut kerusi Pas pada PRU14.

Keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira kedudukan DAP yang masih bersama dalam pentadbiran Kerajaan Selangor untuk meneruskan perjuangan Pakatan harapan

Guan Eng berkata, tanpa DAP, Pakatan Harapan tidak boleh dilaksanakan, sebab itu DAP kena ada dalam Selangor.

"Kita kena pastikan beberapa dasar yang dibuat memihak kepada rakyat Selangor," katanya

Kelmarin media melaporkan, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengumumkan persiapan meletakkan calon dan bertanding di lapan kerusi Dun di Selangor yang kini dipegang oleh wakil rakyat Pas.

Lapan kawasan itu Dun itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Sumber: Sinar Harian 1 Nov. 2015

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.