Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu sekali gus menyangkal dakwaan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti yang tidak menyokong pakatan harapan yang diketuai DAP adalah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tidak benar, dakwaan Dr. Mahathir itu tidak betul. Ada perkara yang kita sokong UMNO, ada perkara kita tidak sokong. Bukan bulat-bulat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas ucapan Dr. Mahathir dalam Konvensyen Pa­katan Harapan kelmarin bahawa mana-mana pihak yang memusuhi gabungan pembangkang boleh dianggap sebagai penyokong Najib.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bekas Perdana Menteri itu disarankan supaya kembali ke jalan agama dan berhenti mengulangi politik yang sama.

Katanya, Dr. Mahathir hanya mengeluarkan pelbagai kenyata­an mengenai perkara yang beliau tidak laksanakan ketika mempunyai kuasa mentadbir negara ini.

“Dr. Mahathir komen ikut suka sebab beliau orang tua. Saya masih ingat beliau yang menarik royalti minyak di Kelantan, kini mahu kembalikan. Beliau juga yang penjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini beliau ingin bebaskan pula.

“Masa ada kuasa tidak buat, tiada kuasa disebut-sebut pula. Lebih baik Dr. Mahathir kembali ke tikar sejadah, pergi ke Mekah dan banyak belajar ilmu agama, daripada mengulangi politik la­ma,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penera­ngan Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menempelak kenyataan Dr. Mahathir dan menegaskan parti itu telah berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum merdeka, berbanding PPBM yang usianya baharu setahun jagung.

“Sejak tahun 1951 kita konsis­ten tidak pernah berhenti melangkah sedemikian cuma pendekatan berbeza dari masa ke semasa. Bergantung kepada strategi politik Pas.

“Pas juga ingin mengingatkan DAP bahawa kami akan meletakkan calon dan bertanding di kawasan mereka pada pilihan raya nanti, jika parti itu berdegil untuk bertanding di kawasan Pas,” katanya.