Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, Pas sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan sekali lagi berbaik dengan PAN yang sudah dianggap sebagai pengkhianat.

“Tidak ada kira-kira dengan PAN termasuk dalam pilihan raya, insya-Allah. Kita rela kalah di Kelantan ini, kita tidak akan berpakat dengan PAN... itu pendirian kita dan kalau kalah, takdir ini kita terima,

“Tapi demo (mereka) ini kena jawab dengan Allah SWT kerana menjadi penyebab Pas hilang kerajaan di Kelantan. Dia (PAN) yang khianat, kalau dia bertanding tiga penjuru, dia sudah beri peluang kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dipetik daripada video yang bertajuk, Perompak larikan harta kita. Bila kita tangkap, perompak suruh bahagi dua? yang dikongsi di laman sosial Facebooknya, www.facebook.com/nikamar.original.

Video berdurasi 2 minit 45 saat itu sudah ditonton lebih 10,000 kali sejak dimuat naik pukul 5.03 petang semalam dan menerima pelbagai reaksi pengguna Facebook.

Difahamkan, video itu dirakam ketika Nik Amar berucap dalam majlis solat hajat dan taklimat khas berhubung pemecatan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa daripada Pas yang berlangsung secara tertutup di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Jumaat lalu.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAN pernah mencadangkan Pas supaya membahagikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini kerana parti itu memasang angan-angan mahu memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi.

Bagaimanapun, katanya, taktik licik parti serpihan itu sudah dibaca lebih awal dan Pas tidak berminat melayan permintaan tersebut.

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan PAN seolah-olah perompak yang melarikan harta namun selepas ditangkap, memohon supaya pemilik berkongsi harta tersebut dengannya.

“Bukankah gong (bodoh) jika terima... orang panggil tidak munasabah. Bawa lari kerusi (Dewan Undangan Negeri dan Parlimen), serang kita... kemudian mahu berpakat dengan kita,” katanya.