Irmohizam Ibrahim

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sepatutnya kerajaan negeri bersikap sensitif terhadap masalah sosioekonomi golongan nelayan yang telah sedia terjejas akibat fenomena El Nino ketika ini.

Katanya, tindakan itu langsung tidak mencerminkan ikrar kerajaan negeri tersebut yang kononnya memperjuangkan peningkatan sosioekonomi rakyat sebaliknya dilihat menambahkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pihak nelayan.

“Sekiranya kerajaan negeri masih mahu melaksanakannya, ia dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan nelayan serta kemungkinan golong­an tersebut tidak lagi mahu turun ke sungai dan laut.

“Jika perkara itu berlaku, tidak mustahil harga ikan akan naik kerana kekurang­an bekalan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas tuntutan yang dibangkitkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor (Penegor), Mohd. Jaman Haris yang mewakili lebih 6,000 nelayan di nege­ri berkenaan berhubung cadangan mengenakan caj jeti pendaratan dan tambatan bot oleh kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Se­langor (LUAS).

Tambah Irmohizam, sekiranya pelaksanaan caj itu dilaksanakan ia dijangka menyebabkan kerugian besar kepada negara ekoran jeti yang dibina di negeri tersebut di bawah Kerajaan Pusat.

“Jika mereka enggan menjadi nelayan, rugilah Kerajaan Pusat yang membina jeti untuk kemudahan mereka. Semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor dulu tiada pula masalah sebegini tetapi apabila PKR ambil alih,inilah nasibnya. Tidak habis-habis me­nyukarkan rakyat.

“Justeru , saya berharap rak­yat menilai semula pemimpin yang mereka pilih. Ini kerana kerajaan negeri itu sengaja memilih untuk menyukarkan rakyat sedangkan apa jua dasar yang ditentukan oleh kerajaan negeri sepatutnya perlu mengutamakan rakyat,” katanya.

Sunber: UTusan Malaysia Online 8 Mei 2016