Datuk Mustafa Ali

 

Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya mengekalkan kuasanya di Sarawak dan meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11. Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, BN dilihat masih memikat hati pengundi Sarawak selain mampu menyelesaikan isu tempatan terutama di kawasan luar bandar.

 

"Saya rasa BN akan terus memerintah Sarawak dan akan menang dua pertiga majoriti dalam PRN11 nanti, mungkin ada kawasan yang akan kalah, tetapi saya yakin BN akan terus kekal di Sarawak," katanya pada sidang media di pejabat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.Mustafa berkata, Pas melihat masyarakat Sarawak lebih menumpukan kepada isu tempatan berbanding isu nasional.

 

Selain itu, beliau berkata, faktor kepimpinan yang ditonjolkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Adenan Satem dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan keyakinan kepada rakyat. "Datuk Seri Adenan Satem ini mempunyai feel good factor,  lagi boleh menang di Sarawak," katanya.

 

Mengenai isu menteri besar Terengganu, Mustafa berkata, pilihan terbaik kini ialah mengadakan pilihan raya negeri.

Beliau mendakwa tindakan menukar Ahmad Razif Abdul Rahman (menteri besar) bukanlah pilihan terbaik kerana ia akan menimbulkan masalah berterusan dan BN bukanlah memiliki majoriti yang besar.

 

Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat Pas tidak campur tangan dalam isu berkenaan. "Pas menyerahkan kepada BN sehingga habis penggal dan biarlah mereka sendiri yang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, kami tidak mahu campur tangan," katanya.

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.