Hanya dalam tempoh beberapa bulan, dua daripada mereka ditamatkan perkhidmatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) negeri khabarnya sejak awal tahun ini.

 

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd., sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng pula ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Ben­dera.

Nasib tiga lagi ADUN PKR iaitu Lee Khai Loon (Machang Bubok), T. Jayabalan (Batu Uban) dan Norlela Ariffin (Penanti) yang turut berkecuali ketika undian terhadap usul Barisan Nasional (BN) berkenaan isu tambak laut itu masih belum dapat dipastikan.

 

Setakat ini, ketiga-tiga mereka boleh dianggap selamat kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam GLC negeri seperti Chin Wen dan Kah Peng.

Tetapi mereka masih berada dalam pentadbiran kerajaan ne­geri kerana difahamkan merupakan Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (JK MMK).

Setakat ini, Dr. Norlela sudah mengesahkan beliau tidak lagi dipanggil menghadiri mesyuarat dua JK MMK yang dipegangnya di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1.

Menurut Dr. Norlela, surat pertanyaan berhubung perkara itu sudah dipanjangkan namun tiada sebarang maklum balas diterimanya sehingga kini.

Tidak dapat dipastikan sama ada kegagalan memanggil beliau menghadiri mesyuarat dua JK MMK itu ada kaitan dengan pendiriannya memilih berkecuali dengan usul BN ketika sidang DUN lalu

Tetapi Dr. Norlela mengakui berasa hairan kerana masih dijemput menghadiri mesyuarat Pembangunan Perbadanan Wa­nita Pulau Pinang (PWDC) yang beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya yang berkhidmat secara percuma tanpa melibatkan bayaran elaun.

 

Tidak dapat dipastikan sama ada Khai Loon dan Jayabalan yang difahamkan juga meme­gang jawatan dalam JK MMK turut tidak dipanggil menghadiri mesyuarat atau sebaliknya kerana usaha mendapatkan penjelasan mereka sehingga kini tidak berjaya.

Jika melihat kepada sejarah bagaimana DAP melayan rakan sekutu mereka dalam pembangkang, tindakan terhadap dua ADUN PKR itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sementelah sejak isu berke­cuali dalam sidang DUN itu berlaku, tiada apa-apa tindakan dilihat diambil kepimpinan PKR terhadap kelima-lima ADUN demikian.

 

Sedangkan bagi DAP, tindakan itu memalit arang di muka mereka kerana dinilai cukup memalukan dan memperlihatkan wujudnya ketidaksepakatan yang ketara dalam kerjasama pembangkang di negeri ini.

Maka, tindakan menamatkan perkhidmatan Chin Wen dan Kah Peng itu dinilai banyak pihak perlu dilakukan DAP sebagai pengajaran serta disebabkan ke­pimpinan PKR sendiri seolah-olah enggan bertindak.

DAP sendiri langsung tidak menyembunyikan tindakan mereka terhadap ADUN PKR itu sebagai pengajaran daripada apa yang berlaku ketika sidang DUN lalu.

 

Lihat sahaja kenyataan Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng kepada portal propembangkang ketika diajukan perkara tersebut.

Antaranya, beliau dipetik sebagai berkata: “Sekarang, kita tidak yakin mereka akan dapat berfungsi secara profesional dan berkesan dan jika saya, sebagai seorang Pengerusi, tidak mempunyai keyakinan terhadap anda, maka anda perlu tahulah apa yang patut dibuat.”

Sangat melucukan apabila DAP yang selama ini menggambarkan parti itu cukup terbuka dan demokrasi secara keras mengenakan tindakan terhadap wakil rak­yat kerajaan negeri sendiri hanya kerana berbeza pandangan.

 

Sedangkan isu yang dibangkitkan itu pula iaitu mengenai ke­telusan dalam projek tambak laut adalah isu kritikal kerana sangat rapat dengan kepentingan umum dan dibimbangi penduduk negeri ini.

Tidakkah DAP boleh meletakkan kebimbangan rakyat itu lebih tinggi daripada kerakusan dan keghairahan mereka menunjukkan kekuasaan kepada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka?

 

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan juga bagaimana isu membabitkan lima ADUN PKR ini menjadi peluang terbaik kepada DAP untuk melepaskan rasa marah dan geram terhadap PKR Pusat.

Umum mengetahui DAP selepas memutuskan hubungan politik dengan Pas seboleh-bolehnya mahu pemimpin ter­tinggi PKR mengikut langkah mereka dalam Kerajaan PKR Se­langor.

Ini kerana dalam keadaan ketika ini, adalah pelik untuk dinilai rakyat bagaimana DAP dan Pas masih boleh bersama-sama dalam sebuah pentadbiran kerajaan ne­geri ketika kedua-dua parti itu tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan.

Di Pulau Pinang yang mana DAP menguasai sepenuhnya pentadbiran kerajaan negeri, ahli-ahli Pas sudah pun menerima nasib mereka disingkirkan DAP.

 

Daripada jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sehinggalah kepada peringkat jawatankuasa komuniti, semua ahli Pas didesak melepaskan jawatan masing-masing.

Perkara sama juga sebenarnya diharapkan DAP dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor supaya PKR Pusat memutuskan semua hubungan dengan Pas.

Tetapi setakat ini, PKR enggan tunduk kepada kemahuan DAP dan yang menjadi mangsa ialah lima ADUN PKR itu yang dilabel sebagai pemberontak.

 

Menarik untuk dinilai adalah bagaimana pemimpin tertinggi PKR khususnya Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendepani ke­renah terbaharu DAP ini.

Adakah mereka sekali lagi akan hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja wakil rakyat mereka secara terang-terangan dilabel pemberontak dan dinafikan jawatan dalam kerajaan negeri yang dibentuk secara bersama?

Sehingga kini pelbagai tekanan diberikan DAP terhadap rakan sekutunya khususnya untuk mengambil tindakan segera dalam soal hubungan dengan Pas dalam kerajaan negeri Selangor.

 

Bagi DAP, parti itu tidak berdepan kerugian apa-apa dalam tindak-tanduk mereka yang seolah-olah seperti abang besar dalam pakatan pembangkang.

Sekarang pun mereka boleh menyatakan mampu berharap kepada PAN untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap pembangkang selepas berjaya memecah-belahkan Pas.

Tidak mustahil kemelut lima ADUN PKR ini akan menyaksikan wujudnya parti serpihan baharu daripada PKR seterusnya melumpuhkan parti itu sama seperti dilakukan DAP sehingga terbentuknya PAN yang merupakan serpihan Pas.

 

Sumber: Utusan Online 22 Feb 2016