Lim Guan Eng

Layakkah Kon Yeow? Bukankah dia juga bukan anak tempatan. Kon Yeow juga sama dengan Guan Eng, berasal dari luar Pulau Pinang iaitu Selangor. Cuma jangka masa dia bermastautin di Pulau Pinang lebih lama iaitu sejak 1986 berbanding Guan Eng yang tampil pada 2008, selepas

 

DAP sebenarnya mengalahkan MCA dan Gerakan (bukannya UMNO) dalam pilihan raya umum di negeri itu.

Kon Yeow mungkin terpaksa memberi laluan kepada Guan Eng pada 2008 sebagai menghormati keputusan Majlis Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

 

Namun, seingat penulis yang membuat liputan sejarah tumbangnya Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 tempoh hari, Guan Eng sememangnya ‘dominan’ ketika dia disertai bapanya, Lim Kit Siang meraikan kemenangan itu di sebuah bangunan di Georgetown pada dini hari 9 Mac 2008.

 

Lebih 50 wartawan dan jurugambar akhbar-akhbar Cina berkumpul waktu itu. Kesemuanya bersorak dan saling berpelukan dengan kepemimpinan DAP meraikan kemenangan tersebut.

 

Bagi penulis, usahlah Kon Yeow menanam impian menggunung atau menunggu bulan jatuh ke riba untuk menduduki jawatan nombor satu di Pulau Pinang itu.

Sebabnya di Selangor begitu juga. Dalam pemilihan DAP Sela­ngor, Tony Pua menduduki tempat ke-11, tetapi ‘dianugerahkan’ jawatan pengerusi DAP negeri walaupun Gobind Singh Deo meraih undi ter­tinggi.

 

Hakikatnya, bukan sahaja Kon Yeow atau Gobind senasib atau mungkin ‘kempunan’ untuk mera­ih kedudukan tinggi dalam DAP, orang Melayu demikian juga.

Kalau disemak dalam pemilihan 15 ahli jawatankuasa DAP Selangor baru-baru ini, tidak ada seorang Melayu pun yang menang dalam pemilihan berkenaan.

Kalau ada pun, me­raih jawatan selepas itu melalui pelantikan.

 

Penyertaan orang Me­layu atau pemimpin Melayu dalam DAP penuh ranjau berduri. Kalau boleh dikaji senarai kepemimpinan Pusat parti itu, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir 67 peratus rakyat hanya mempunyai satu dua wakil sahaja. Adakah Bumiputera Sabah dan Sarawak diwakili?

 

Meskipun dikatakan DAP Melayu sudah bertapak bagi suatu tempoh yang agak lama sejak 1969 yang mana dalam catatan sejarah, Melayu DAP pernah memenangi satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri, namun kedudukan Melayu dalam parti pimpinan Kit Siang itu penuh dilema.

 

Barangkali yang masih diingati pemimpin Melayu dalam DAP ialah Allahyarham Ahmad Nor yang memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1990. Itu pun populariti beliau diwarnai penglibatan aktif­nya dalam sebuah kesatuan sekerja.

Kon Yeow usah bermimpi di siang hari.