Politik Pembangkang

Pas mengulangi pendirian untuk tidak akan menjalinkan apa-apa hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan biasa dengan parti itu asalkan ia berkaitan kepentingan agama Islam.

“Tahaluf tiada, dulu sampai sekarang memang itu keputusannya. Tetapi kalau berbincang biasa, tidak menjadi masalah asalkan kepentingan Islam jadi agenda utama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Beliau mengulas mengenai tindakan PKR yang mahu ‘berbaik’ semula dengan Pas bagi berdepan PRU14.

 

Mohd Amar berkata, PKR juga sudah menampakkan perpecahan kepada dua kumpulan yang mana satu mahu bekerjasama dengan Pas, dan satu lagi sebaliknya.

Katanya, bagaimanapun Timbalan Menteri Besar itu tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut bagi menghormati masalah dalaman parti masing-masing.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Amar juga memberi amaran awal kepada Bersatu untuk sedar lebih awal mengenai tindakan DAP yang hanya mahu menjadikan parti-parti Pakatan Harapan sebagai kuda tunggangan parti anti Islam itu

Sumber: Sinar Online 11/9/2017

Pas yakin untuk terus mengambil dan menggunakan pendekatan bergerak secara solo tanpa menyokong mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu sekali gus menyangkal dakwaan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti yang tidak menyokong pakatan harapan yang diketuai DAP adalah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tidak benar, dakwaan Dr. Mahathir itu tidak betul. Ada perkara yang kita sokong UMNO, ada perkara kita tidak sokong. Bukan bulat-bulat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas ucapan Dr. Mahathir dalam Konvensyen Pa­katan Harapan kelmarin bahawa mana-mana pihak yang memusuhi gabungan pembangkang boleh dianggap sebagai penyokong Najib.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bekas Perdana Menteri itu disarankan supaya kembali ke jalan agama dan berhenti mengulangi politik yang sama.

Katanya, Dr. Mahathir hanya mengeluarkan pelbagai kenyata­an mengenai perkara yang beliau tidak laksanakan ketika mempunyai kuasa mentadbir negara ini.

“Dr. Mahathir komen ikut suka sebab beliau orang tua. Saya masih ingat beliau yang menarik royalti minyak di Kelantan, kini mahu kembalikan. Beliau juga yang penjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini beliau ingin bebaskan pula.

“Masa ada kuasa tidak buat, tiada kuasa disebut-sebut pula. Lebih baik Dr. Mahathir kembali ke tikar sejadah, pergi ke Mekah dan banyak belajar ilmu agama, daripada mengulangi politik la­ma,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penera­ngan Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menempelak kenyataan Dr. Mahathir dan menegaskan parti itu telah berdepan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum merdeka, berbanding PPBM yang usianya baharu setahun jagung.

“Sejak tahun 1951 kita konsis­ten tidak pernah berhenti melangkah sedemikian cuma pendekatan berbeza dari masa ke semasa. Bergantung kepada strategi politik Pas.

“Pas juga ingin mengingatkan DAP bahawa kami akan meletakkan calon dan bertanding di kawasan mereka pada pilihan raya nanti, jika parti itu berdegil untuk bertanding di kawasan Pas,” katanya.

Rujuk: Utusan Online 17 Nov. 2016

ALOR SETAR - Pas akan meletakkan calon di setiap kerusi Dun di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.    

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun akan bertanding secara bersendirian, Pas mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan di negeri itu yang boleh membantu calon parti untuk menang.    

"Kita (Pas) ada kekuatan di negeri itu kerana sejarah penubuhan parti ini di Pulau Pinang. DAP dan PKR perlu sedar mereka bergantung kepada akar umbi kita (Pas) untuk menang pada pilihan raya umum (ke-13) lalu," katanya.    

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada Pas akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu sekiranya diadakan semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.    

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata Pas tidak menolak untuk berkerjasama dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  sekiranya parti itu nanti tidak lari daripada matlamat dan perjuangan Islam.

Katanya, Pas sebelum ini telah mengambil kesempatan untuk bekerjsama dengan semua pihak dengan syarat parti itu tidak mengganggu dasar Islam yang dibawa oleh Pas sejak awal penubuhannya.    

"Kita (Pas) tidak ganggu dasar yang dibawa DAP dan mereka yang ganggu dasar Pas, kita bertegas dengan perkara ini dan akhirnya mereka (DAP) keluar daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.    

"Pas hari ini terus konsisten dengan dasar yang diperjuangkan sejak dahulu lagi. Blok ketiga yang diwujudkan oleh Pas, telah berkerjasama dengan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik," kata Abdul Hadi. - Bernama

Pas lebih rela tewas dan kehilangan mandat memerintah negeri ini daripada bekerjasama dengan PAN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, Pas sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan sekali lagi berbaik dengan PAN yang sudah dianggap sebagai pengkhianat.

“Tidak ada kira-kira dengan PAN termasuk dalam pilihan raya, insya-Allah. Kita rela kalah di Kelantan ini, kita tidak akan berpakat dengan PAN... itu pendirian kita dan kalau kalah, takdir ini kita terima,

“Tapi demo (mereka) ini kena jawab dengan Allah SWT kerana menjadi penyebab Pas hilang kerajaan di Kelantan. Dia (PAN) yang khianat, kalau dia bertanding tiga penjuru, dia sudah beri peluang kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dipetik daripada video yang bertajuk, Perompak larikan harta kita. Bila kita tangkap, perompak suruh bahagi dua? yang dikongsi di laman sosial Facebooknya, www.facebook.com/nikamar.original.

Video berdurasi 2 minit 45 saat itu sudah ditonton lebih 10,000 kali sejak dimuat naik pukul 5.03 petang semalam dan menerima pelbagai reaksi pengguna Facebook.

Difahamkan, video itu dirakam ketika Nik Amar berucap dalam majlis solat hajat dan taklimat khas berhubung pemecatan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa daripada Pas yang berlangsung secara tertutup di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Jumaat lalu.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAN pernah mencadangkan Pas supaya membahagikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini kerana parti itu memasang angan-angan mahu memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi.

Bagaimanapun, katanya, taktik licik parti serpihan itu sudah dibaca lebih awal dan Pas tidak berminat melayan permintaan tersebut.

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan PAN seolah-olah perompak yang melarikan harta namun selepas ditangkap, memohon supaya pemilik berkongsi harta tersebut dengannya.

“Bukankah gong (bodoh) jika terima... orang panggil tidak munasabah. Bawa lari kerusi (Dewan Undangan Negeri dan Parlimen), serang kita... kemudian mahu berpakat dengan kita,” katanya.

 

Rujukan: Utusan Online - 17 Mei 2016

Kerajaan Negeri Sela­ngor disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan apabila sanggup meminta nelayan di nege­ri tersebut membayar caj jeti pendaratan dan tambatan bot sebanyak RM600 setahun.

Irmohizam Ibrahim

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sepatutnya kerajaan negeri bersikap sensitif terhadap masalah sosioekonomi golongan nelayan yang telah sedia terjejas akibat fenomena El Nino ketika ini.

Katanya, tindakan itu langsung tidak mencerminkan ikrar kerajaan negeri tersebut yang kononnya memperjuangkan peningkatan sosioekonomi rakyat sebaliknya dilihat menambahkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pihak nelayan.

“Sekiranya kerajaan negeri masih mahu melaksanakannya, ia dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan nelayan serta kemungkinan golong­an tersebut tidak lagi mahu turun ke sungai dan laut.

“Jika perkara itu berlaku, tidak mustahil harga ikan akan naik kerana kekurang­an bekalan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas tuntutan yang dibangkitkan oleh Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor (Penegor), Mohd. Jaman Haris yang mewakili lebih 6,000 nelayan di nege­ri berkenaan berhubung cadangan mengenakan caj jeti pendaratan dan tambatan bot oleh kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Se­langor (LUAS).

Tambah Irmohizam, sekiranya pelaksanaan caj itu dilaksanakan ia dijangka menyebabkan kerugian besar kepada negara ekoran jeti yang dibina di negeri tersebut di bawah Kerajaan Pusat.

“Jika mereka enggan menjadi nelayan, rugilah Kerajaan Pusat yang membina jeti untuk kemudahan mereka. Semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor dulu tiada pula masalah sebegini tetapi apabila PKR ambil alih,inilah nasibnya. Tidak habis-habis me­nyukarkan rakyat.

“Justeru , saya berharap rak­yat menilai semula pemimpin yang mereka pilih. Ini kerana kerajaan negeri itu sengaja memilih untuk menyukarkan rakyat sedangkan apa jua dasar yang ditentukan oleh kerajaan negeri sepatutnya perlu mengutamakan rakyat,” katanya.

Sunber: UTusan Malaysia Online 8 Mei 2016

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.