Berita Terkini

PR digesa supaya mendedahkan sumbangan dan pembiayaan politik yang diterima sejak 2008 di Pulau Pinang dan Selangor.
Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kenyataan pemimpin PR terutama DAP yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi Umno dan BN sebagai hipokrit.
Menurutnya, DAP sebelum ini enggan berbuat demikian dalam satu perkara berbangkit sewaktu sidang Parlimen selepas PRU12.
“Saya dapati agak menghairankan kebelakangan ini apabila pemimpin DAP seperti Tony Pua dan Lim Kit Siang kelihatan hipokrit dalam mendesak Perdana Menteri mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi BN dan Umno, sedangkan mereka menentang inisiatif perubahan pembiayaan politik sejak awal.
“Mereka memberi alasan ia parti sara diri dan itu amat mengecewakan. Pemimpin DAP bimbang perubahan berkenaan bakal merugikan parti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semua pihak mengetahui parti pembangkang agak kreatif dalam meraih dana bagi menampung operasinya.
“Bukan rahsia juga mereka menerima pembiayaan politik daripada ahli perniagaan dan individu yang menyokong perjuangan, selain penganjuran majlis makan malam amal yang berkesan dan diadakan hampir setiap minggu. 
"Sesetengahnya berselindung sebagai badan bukan kerajaan yang konon membiayai bagi kemajuan aspirasi demokratik,” katanya.
 
Sumber: Sinar Online

Pas tidak perlu dilihat sebagai musuh utama UMNO, sebaliknya parti berpaksikan Islam itu adalah sahabat yang mampu mengembalikan sokongan terutamanya orang Melayu kepada Barisan Nasional, kata wakil UMNO Terengganu, Datuk Din Adam.

 

Membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, Ketua UMNO Bahagian Dungun itu menarik perhatian cadangan kerjasama dengan parti yang pernah membolot kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, adalah langkah bijak.

 

“Di Terengganu, majoriti pengundi adalah berbangsa Melayu dan parti UMNO dan Pas adalah dua parti tunjang negeri. Pada PRU ke-13 kita menang banyak kawasan di pedalaman, kawasan bandar kita tak menang.

 

“Jadi saya setuju sangat kerjasama ini. Jangan pandang PAS sebagai musuh utama kita, kita kena lihat musuh utama kita DAP, sebab orang Pas adalah seagama dan sebangsa kita, tak mustahil kalau sistem (kerjasama) kita dilaksana baik, saya yakin di Terengganu orang yang menyokong Pas akan kembali menyokong BN,” katanya.

 

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam selepas parti itu “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan pembangkangnya.

 

Sumber: Utusan Online 11 Dis. 2015

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai ADUN dan ahli DAP walaupun menerima kritikan parti kerana menyokong usul ADUN Barisan Nasional pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang minggu lalu.

 

Teh berkata sebagai seorang ADUN, beliau tidak menyesal menyokong usul berhubung tebus guna tanah tersebut demi kepentingan rakyat walaupun diarah untuk memohon maaf kemudian. Katanya, beliau akan terus mempertahankan kepentingan awam dalam isu alam sekitar biarpun bertentangan dengan pendirian parti dan dikecam anggota parti parti. "Saya sebagai seorang ADUN dan seorang ahli DAP yang memegang kepada prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai setiausaha pengelola DAP Pulau Pinang untuk bertanggungjawab ke atas tindakan saya menyokong usul tersebut. "Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang dilakukan pada sidang DUN lalu walaupun saya diarahkan untuk meminta maaf, tetapi saya tetap dengan pendirian berhubung usul tersebut," katanya.

 

Pada persidangan DUN Pulau Pinang yang lalu, Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) telah mengemukakan usul yang mencadangkan supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum. Bagaimanapun, Teh memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan dewan undangan negeri.

 

Teh juga berkata beliau bersedia untuk menerima apa-apa jenis tindakan yang akan dikenakan terhadapnya berikutan tindakan beliau pada persidangan DUN lepas. "Parti mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap saya tetapi, setakat ini, saya masih belum menerima surat tunjuk sebab atau apa-apa maklum balas dari parti berhubung tindakan saya pada persidangan DUN lalu," katanya.

 

Katanya, beliau juga akan menghadiri Kongres dan Pemilihan DAP Pulau Pinang yang dijadualkan akan berlangsung esok. "Saya akan hadir kerana saya telah dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan parti esok dan terpulanglah kepada ahli parti sama ada mereka akan menyokong saya atau tidak," katanya. Jumaat lalu,

 

Speaker Datuk Law Choo Kiang telah menolak usul Muhamad Farid selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali. Usul itu juga disokong anggota DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah). Lima ADUN yang berkecuali ialah Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (PKR-Batu Uban). 

Sumber: BH Online

 

Gambar: Perjumpaan YB Haji Nordin dengan nelayan dan wakil NGO

 

Dalam satu perjumpaan dengan sekumpulan nelayan kecil pada malam tadi telah dapat memperjelaskan tuduhan dan fitnah terhadap YB Tuan Haji Nordin Ahmad, ADUN Bayan Lepas. Haji Nordin Ahmad dengan rasa sedikit kecewa telah memberi penjelasan dalam perjumpaan itu bahawa sejak lahirnya beliau sebagai pemimpin di sini dia tidak akan menganiayai orang.

 

Tuduhan yang mengatakan bahawa nelayan-nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa perikanan kira-kira tiga minggu yang lalu adalah hasil aduan darinya adalah fitnah yang amat jahat dan tidak bertanggungjawab. Selaku wakil rakyat beliau sentiasa menghulur bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Dalam kes tiga buah sampan nalayan yang ditahan tetap dia bantu nelayan-nelayan itu walaupun dia difitnah.

 

Beliau berharap wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut hadir dalam perjumpaan itu dapat memainkan peranan membetulkan tanggapan yang tidak benar. Sepatutnya ada pihak yang berani tampil bertanya kepada wakil rakyat sendiri dan bukan sebaliknya menghebahkan lagi cerita yang tidak benar itu.

 

Di akhir sesi perjumpaan itu para nelayan dan wakil pertubuhan berjanji akan membetulkan tanggapan yang tidak benar terhadap wakil rakyat mereka. ADa yang mencadangkan perjumpaan seumpama ini perlu diadakan dari masa ke semasa bagi membincangkan masalah nelayan dan sebagainya supaya perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

 

 

BALIK PULAU 7 Nov. - Para pesara kerajaan dan warga emas digesa memainkan peranan termasuk menjadi benteng terakhir dalam mempertahankan tanah milik orang Melayu yang diwarisi supaya tidak terus menyusut dan tergadai.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, perkara itu pen­ting memandangkan tanah milik orang Melayu di negeri ini ketika ini hanya berjumlah kira-kira 24 peratus.

 

Menurut beliau, statistik pada 2010 itu turut menunjukkan daripada jumlah tersebut, kebanyakan tanah-tanah milik orang Melayu di negeri ini terletak di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

 

“Perkara ini harus diberi perhatian demi kelangsungan hidup ge­nerasi muda hari ini dan akan datang.

“Sebagai orang lama, golongan warga emas dan pesara kerajaan perlu memainkan peranan menye­darkan generasi muda Melayu hari ini supaya tidak sekali-kali menggadaikan harta yang sudah tinggal sekangkang kera ini,” katanya.

 

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Seminar Hari Warga Emas 2015 peringkat nege­ri di dewan Pejabat ADUN Pulau Betong, Jalan Kuala Baharu di sini, hari ini.

 

Tambah Muhammad Farid, golongan pesara walaupun sudah tidak berkhidmat dengan kerajaan tidak boleh sesekali memandang remeh isu pemilikan tanah.

Menurut beliau, berbekalkan pengalaman sebagai kakitangan kerajaan, para pesara dan warga emas terbabit perlu sentiasa menjadi penasihat dalam menyuntik kesedaran kepada generasi muda supaya mempertahankan warisan mereka.

 

Tambahnya, orang Melayu di nege­ri ini masih merupakan kaum majoriti dan perkara itu dibuktikan menerusi perincian yang menunjukkan kira-kira 65 peratus pelajar di seluruh sekolah negeri ini adalah orang Melayu.

 

“Jadi sebagai orang lama dalam keluarga, turunkan segala pengalaman yang ada, nasihat dan persiapkan anak cucu masing-masing supaya mereka mampu membangunkan diri sendiri dan tidak terus dibelenggu kemiskinan,” tegasnya.

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.