Berita Terkini

Ramai yang sedang melobi untuk menjadi calon PRU14 yang akan datang. Isu melobi untuk mencari calon bukan terhad semata-mata kepada parti kerajaan malahan parti-parti pembangkang lebih dahsyat lagi. Apakah tidaknya, ada parti-parti pembangkang sudah pun menentukan calon Perdana Menteri masing-masing.   Ada pula yang menggigil takut nak sebut calon PM kerana menjaga hati kawan yang lain. Persoalannya kenapa mereka takut menentukan calon PM?

Kegagalan mereka menentukan calon PM yang disepakati bersama akan menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (dulu Pakatan Rakyat). Matlamat utama parti-parti dalam PH tidak sama. Mereka mempunyai matlamat yang tidak jelas dan ternyata berbeda.

Tun Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mahukan Presiden UMNO, DS Najib meletak jawatan sebagai PM. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mahu membebaskan DS Anwar Ibrahim dan akan dilantik sebagai PM. Parti Amanah Negara (PAN) pula mungkinlah akan mengenengahkan Presiden PAN, Mat Sabu sebagai PM.  Manakala DAP bersikap malu-malu kucing, menunggu masa dan ketika yang sesuai.

Begitulah isu parti-parti pembangkang sehingga kini belum mampu dan berani menyatakan calon PM mereka. Ada di kalangan pemimpin utama mereka meminta isu calon PM tidak perlu dibincangkan. Yang penting bagi dia, kalahkan dulu BN selepas itu baru kita bincangkan siapa yang akan jadi PM.  Bagi sesetengah pihak menganggap pernyataan itu sebagai sangat penting kerana jawatan PM merupakan simbol kuasa parti yang memerintah.

Dengan kata lain, mereka mahu menang dahulu kemudian berkelahi. Ini jelas bahawa parti-parti pembangkang tidak sehaluan dan bukanlah pakatan yang mantap untuk mentadbir negara. Mereka tidak berani memberitahu pengundi siapa calon PM dan menteri-menteri kabinet mereka. Selain akan dapat bantahan di kalangan pemimpin parti, mereka sangat bimbang jika bantahan itu menular kepada penyokong-penyokong parti masing-masing. Jika ini berlaku sudah tentulah usaha menawan Putrajaya akan gagal.

Rakyat dapat lihat pemimpin PH sangat berhati-hati dalam membincangkan isu calon PM. Mereka sedar bahawa akan berlaku perbalahan yang serius, pertelingkahan yang amat dahsyat dan pasti boleh menghancurkan pakatan jika calon PM dibincangkan. Baru satu isu calon PM, parti-parti pakatan masih tidak boleh duduk semeja berbincang dan membuat satu keputusan yang muktamad untuk pengetahuan rakyat. Mereka takut hilang undi dan gagal ke Putrajaya. Mereka tidak takut perbalahan yang akan rakyat tanggung jika berlaku krisis kepimpinan negara. Soal PM dan menteri-menteri yang akan dilantik serta dasar kerajaan baru Pakatan Harapan belum dapat kata sepakat.  Bagi mereka ini tidak penting. Yang penting bagi mereka menang dahulu dalam PRU14 akan datang.

Jika inilah kesepakatan yang dicapai di kalangan pemimpin PH, nasib rakyat sedang diperjudikan oleh pemimpin PH. Ibarat kata pepatah Melayu, “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Para pengundi perlu berhati-hati dan jangan terburu nafsu, “Takut yang dikendung keciciran dan yang dikejar pula tak dapat”. Soal negara bukan perkara yang boleh main-main. Akibat kesilapan memilih kerajaan bahananya terkesan sehingga ke cucu cicit.

Berwaspadalah, fitnah melampau-lampau dari pihak pembangkang kerana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN. Setelah demontrasi jalanan tidak mendapat sokongan, fitnah ditabur melalui media sosial tanpa batas. Hingga ada pemimpin Melayu (bukan mufti) bercakap soal agama bagaikan fatwa kerana menjaga kepentingan politik kepartian. Ada pemimpin utama PH mengakui kerja mereka menghasut rakyat setiap hari supaya rakyat benci kerajaan. BR1M dikatakan rasuah, harga petrol naik dicaci dan dimaki sebaliknya mereka diam sepi bila harga petrol jatuh! Begitulah pembangkang di Malaysia yang kita kenali mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara tanpa menghiraukan kesan buruk kepada ekonomi negara. Itulah juga matlamat mereka untuk mendapat sokongan rakyat. Rakyat Malaysia tidak keliru dengan mainan politik pembangkang, Insya Allah!

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sepatutnya memburuk-burukkan golongan ulama termasuk mufti dengan melemparkan tu­duhan tidak berasas terhadap mereka.

Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menegaskan, beliau ti­dak mempunyai sebarang kepentingan politik apabila menyampaikan pandangan se­cara umum yang dibuat berdasarkan fakta untuk diketahui rakyat.

Beliau berkata, mufti adalah golongan ulama yang merupakan pewaris nabi dan apa yang disampaikan adalah disebut oleh Rasulullah SAW.

“Apa yang saya sampaikan sebelum ini adalah untuk pengetahuan masyarakat umum dan tidak menyerang peribadi sesiapa termasuk Dr. Mahathir. Saya hanya sampaikan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

“Saya tidak kisah jika sesiapa pun termasuk Dr. Mahathir hendak menyerang peribadi saya, tetapi janganlah menyentuh agama kerana memburuk-burukkan ulama, seolah-olah memburuk-burukkan agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Maha­thir yang juga Pe­ngerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mene­gaskan, beliau eng­gan memohon maaf berhu­bung kenyataannya yang menyifatkan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.

Beliau juga menolak pandangan pelba­gai pihak termasuk Ab­dul Rahman serta mufti-mufti lain yang tidak bersetuju dengan pandangan yang disuarakannya ketika berce­ramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah bulan lalu.

Malah, Dr. Mahathir menuduh pi­hak yang menyangkal dakwaan­nya itu ko­nonnya telah dibayar untuk bercakap demikian manakala mufti menafikannya kerana me­reka di pihak kerajaan.

Sementara itu, di IPOH, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kesal dan enggan membuang masa melayan tuduhan Dr. Mahathir, sebaliknya menegaskan terpulang kepada bekas Perdana Menteri itu dengan pandangannya.

“Kalau beliau tidak mahu minta maaf dan berpegang kepada pendiriannya, itu terpulanglah kepada beliau. Saya tak mahu campur lagi dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, di KOTA BHARU, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad kecewa dengan tuduhan Dr. Mahathir itu dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya.

“Kalau sampai peringkat tuduh kena bayar, tak perlu komen apa-apalah,” katanya.

Rujuk: Utusan Online 9 Januari 2017.

PERHIMPUNAN Agung UMNO minggu depan bu­­kan sahaja harus menjadi medan untuk parti itu memperkasakan keduduk­annya dalam kalangan orang Me­layu malah lebih penting daripada itu perlu menampilkan kembali UMNO sebagai pejuang Islam.

Berdasarkan situasi ketika perhimpunan haram Bersih pada Sabtu lalu, UMNO tidak perlu lagi berasa malu atau bimbang untuk kembali kepada jati diri asalnya sebagai pejuang Melayu dan Islam.

Selama ini mungkin UMNO tidak mahu menonjol dalam bab itu kerana mahu menjaga hati pengundi bukan Melayu khusus­nya penyokong komponen Barisan Nasional (BN), tetapi keputusan pilihan raya sejak kebelakangan ini termasuk pilihan raya kecil telah menunjukkan kelompok tersebut tidak lagi bersama kerajaan.

Dan ini semakin jelas dengan paparan wajah-wajah yang menyer­tai perhimpunan haram Bersih. Penulis tidak perlu menyebut siapa mereka atau kelompok mana kerana semua orang tahu, tetapi apa yang mahu diperkatakan cukup-cukuplah UMNO menjaga hati pihak-pihak berkenaan.

Selama ini UMNO dilihat terlalu berhati-hati untuk memperkatakan soal orang Melayu dan umat Islam, kalau adapun setakat berdegar-degar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Perhimpunan Agung UMNO sahaja, dari segi tindakan entah ke mana.

Keadaan itu berlaku kerana UMNO masih lagi mengharapkan kaum lain untuk menyokong BN sedangkan sudah jelas dan nyata, yang betul-betul setia de­ngan UMNO ialah orang Melayu. UMNO sepatutnya memperkukuh­kan so­kongannya da­­lam kaum itu bukan­nya dilihat mahu ‘menyem­bah’ untuk mendapat undi daripada kaum lain.

Janganlah kerana terlalu mahu menjaga hati kaum lain, UMNO teragak-agak dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan mempertahankan hak mereka serta mem­bela agama Islam. Perlu diingatkan UMNO berkuasa sehingga kini ke­rana sokongan orang Melayu, oleh itu balaslah jasa mereka dengan sewajarnya.

Tetapi masalahnya ada ketika UMNO terlalu bimbang dengan reaksi rakan-rakan dalam komponen berkaitan perjuangan Islam sehingga akhirnya isu itu diabaikan begitu sahaja.

Sedangkan kalau dikaji, ada sesetengah parti dalam komponen BN benar-benar memperjuangkan hak kaum mereka seolah-olah tidak mempedulikan perasaan UMNO. Mereka membuat tuntut­an dan desakan kepada kerajaan dalam isu tertentu khususnya pendidikan tanpa mempedulikan apa kata UMNO atau orang Melayu.

Bagaimanapun UMNO tidak ber­­sikap demikian. UMNO terlalu mahu menjaga hati sehingga akhir­nya menyebabkan orang Me­­layu merasa bosan kerana me­ra­sakan UMNO tidak boleh lagi di­­harap untuk membela dan mem­­perjuang­kan nasib mereka. Walaupun dakwaan ini mungkin tidak benar tetapi itulah hakikat yang berlaku sehingga sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin menipis. Kelompok berkenaan mencari parti alternatif sehingga mengakibatkan orang Melayu terus berpecah manakala pihak lain mengumpul kekuatan seperti mana dapat dilihat ketika perhimpunan haram Bersih.

Oleh itu Perhimpunan Agung UMNO kali ini amat penting. Ia bukanlah pentas bersandiwara apatah lagi beretorik, tetapi medan untuk menjelmakan semula UMNO sebagai pejuang orang Melayu dan umat Islam. UMNO bukanlah se­perti PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau PAN yang ditubuhkan atas perasaan kecewa, tetapi UMNO ditubuhkan atas ke­ringat dan airmata orang Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu dan agama Islam berdaulat di bumi Malaysia.

Namun UMNO perlu mengakui kekuatan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut semakin longgar dan bila-bila masa sahaja boleh terlerai jika parti itu tidak bangkit untuk melakukan perubahan khususnya dalam memantapkan perjuangan bagi orang Melayu dan umat Islam.

Dalam memperjuangkan Islam, UMNO tidak boleh teragak-agak dalam menyatakan pendirian. Ramai penganalisis politik berpendapat, UMNO perlu menyokong Rang Undang-undang 355 (RUU355) bagi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah yang akan dibentangkan oleh Pas.

Pembentangan tersebut bukan­lah bertujuan politik tetapi se­ma­ta-mata bagi memperkasakan mah­kamah berkenaan. Kalaulah parti-parti lain khususnya yang me­­wakili kaum bukan Melayu boleh bersatu menentangnya kenapa UMNO tidak boleh bersama Pas dalam soal ini?

Perlu difahami pindaan undang-undang tersebut hanya melibatkan orang Islam dan ini sama sekali tiada kaitan dengan bukan Islam, oleh itu mereka tidak perlu menyi­buk atau ‘tidur tidak lena’. Sebenarnya puak-puak tersebut khususnya DAP bimbang, jika UMNO menyokong RUU 355, akan memberi isyarat awal penyatuan orang Melayu dan umat Islam.

Penyatuan itu bukanlah bermakna bergabung atau bermaksud Pas masuk UMNO atau UMNO masuk Pas, sebaliknya hanyalah kerjasama dalam memperjuangkan sesuatu isu demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Inilah yang ditakuti DAP.

Selama ini parti itu boleh menjadi ‘taiko’ dalam pembangkang dengan menghalang Pas memperjuangkan agenda Islamnya, tetapi sekarang Pas tidak lagi bersama mereka, oleh itu kalaulah Pas membuat keputusan untuk bergabung dengan UMNO demi mene­gakkan syariat Islam, maka ini akan dianggap ‘petaka’ politik kepada pembangkang.

Atas sebab itulah dalam isu-isu berkaitan kepentingan orang Me­layu dan umat Islam, UMNO tidak boleh teragak-agak menyatakan pendirian waima kalau isu itu diperjuangkan oleh Pas sekalipun.

Soal bertarung dalam pilihan raya, itu soal kedua, apa yang pen­ting janganlah orang Melayu melemahkan satu sama lain sedangkan ada pihak mengumpul kekuatan melalui perpecahan orang Melayu.

Oleh itu jadikanlah perhimpu­nan agung kali ini sebagai pentas un­tuk menampilkan semula keberanian UMNO dalam memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam. Ingatlah nyawa politik UMNO ditentukan oleh orang Melayu bukannya kaum lain, biar sebesar mana pun jasa UMNO kepada mereka.

Sumber: Utusan Online 25 Nov. 2016

Umno sama sekali tidak akan tergugat dengan helah pembangkang melalui penyebaran surat layang yang cuba melagakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersebar luas di media sosial.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ini kerana parti itu sebelum ini sudah pun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang namun masih kekal utuh sehingga kini.    

"Saya berdoa agar orang yang membuat fitnah tersebut cepat-cepat bertaubat. Semoga ALLAH mengampuni dosa mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Akta Majlis Keselamatan Negara Ke Arah Keharmonian Sejagat' di sini, hari ini.

Sejak dua hari lepas, tersebar secara meluas surat palsu kononnya ditulis timbalan perdana menteri dan antara kandungannya ialah desakan agar Najib berundur daripada kerajaan, selain tuntutan agar beliau segera melepaskan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, surat tersebut jelas meragukan kerana wujud pelbagai kesalahan termasuk dalam aspek format, kepala surat, kesilapan jawatan dan nama-nama pemimpin yang dinyatakan.

Shahidan berkata, Umno sendiri tidak pernah membuat fitnah dengan mengada-adakan sesuatu cerita yang tidak wujud mengenai parti pembangkang kerana tahu perkara tersebut adalah satu tindakan politik tidak matang.

"Kami (kerajaan) tidak pernah dan tidak sama sekali membuat fitnah seperti itu, tapi pembangkang, itu memang kerja mereka sejak dahulu lagi," katanya.

Justeru, beliau meminta meminta semua pihak supaya tidak percaya dengan surat tersebut. - Bernama

Rujukan: Sinar Online 12 Dis. 2016

Ucapan Deepavali Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa berbaur fitnah dan hanya dipenuhi dengan propaganda kebencian.

Huan Cheng Guan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan (gambar) berkata, ucapan Guan Eng juga disifatkan tidak menghormati perayaan kaum India kerana hanya menyentuh isu penghapusan subsidi minyak masak dan kenaikan kadar tol.

“Guan Eng langsung tidak menghormati perayaan Deepa­vali yang berkisarkan tentang sam­butan kedatangan permulaan yang baharu, kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan dan cahaya mengatasi kegelapan.

“Ia jelas apabila ucapan yang mengandungi sejumlah 929 patah perkataan, hanya 10 perkataan pertama sahaja menyebut tentang pe­rayaan Deepavali kemudiannya di­ikuti 919 patah perkataan lain yang membawa maksud politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyata­an di sini hari ini.

Dalam perutusan ucapan Dee­pavali kerajaan negeri Pulau Pinang, antara isu lain yang di­sebut Guan Eng adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), subsidi minyak, skandal derma RM4.2 bilion dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, ucapan itu turut melampirkan data berhubung Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap negeri di Malaysia.

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.