Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri banyak isu politik yang umum mengetahui. Isu MB Selangor sudah sampai ke peringkat yang begitu kritikal. Banyak pihak mengatakan bahawa isu MB Selangor lebih dahsyat hebatnya daripada isu peralihan pemerintahan di Perak.

 

Biarlah Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah itu. UMNO jangan terlibat dengan masalah mereka. Bimbang nanti UMNO dituduh sebagai puncanya. Sudah ada pun secara nakal menuduh UMNO yang menyokong TS Khalid sebagai MB Selangor tanpa syarat menjadi puncanya. Tapi lebih baik kita melihat lebih dekat dengan masalah kita. Masalah parti kita di mana-mana sedang sibuk dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri. 

 

Mengapa Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Perwakilan UMNO diadakan? Sepertimana pertubuhan-pertubuhan lain, mesyuarat agung wajib diadakan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan. Mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa mesyuarat agung tempat meluahkan perasaan dan geram, menabur fitnah, mengutuk dan mencerca. Bagi sesetangah pihak pula akan menggunakan mesyuarat agung untuk memberi pandangan dan mengkritik secara yang berhemah demi untuk kebaikan ahli dan pertubuhan.

 

Umumnya kita mengetahui bahawa UMNO perlu membina kekuatan bagi menghadapi PRU14 yang kian hampir. Bagaimana kita dapat membina kekuatan sekiranya antara kita masih ada sifat berdendam dan hentam menghentam antara satu sama lain? Kita akan semakin lemah dan terus lemah jika setiap kali mesyuarat agung, kita membangkitkan perkara-perkara atau isu-isu yang merugikan kita. Berfikirlah sebelum bercakap. Jangan sampai kata pepatah Melayu, "terlajak perahu boleh berundur tapi terlajak cakap buruk padahnya".

 

Sepatutnya kita bertanya kepada diri kita sendiri, apa yang telah aku lakukan semenjak setahun yang lalu? Mesyuarat Agung datang lagi, apakah aku telah menunaikan janji-janji aku kepada parti dan ahli parti? Dalam mesyuarat agung yang lalu, aku berdiri dengan megah dan bergaya dan dalam ucapan aku itu aku berjanji untuk menyatukan ahli parti. Aku akan mengajak setiap ahli parti untuk bersama-sama bantu membantu setiap program yang dianjurkan oleh parti kesayangan kita. Jika ahli bersatu, parti akan kuat. InsyaAllah calon BN akan menang dalam PRU yang akan datang.

 

Oleh itu dalam mesyuarat agung kali ini aku berhasrat untuk mengukuhkan lagi parti aku. Lebih banyak program yang aku akan anjurkan selepas ini. Aku tidak kisah apa yang orang kata. Yang penting aku mampu melaksanakan aktiviti untuk faedah masyarakat dan parti dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang. Jika pembangkang mampu dan boleh melaksanakan program? Mengapa pula aku tidak? Jadikan mereka sebagai pesaing yang sihat yang boleh memotivasikan kita untuk terus berusaha dan bekerja untuk kepentingan parti.

 

Gunakan ruang dan peluang dalam mesyuarat agung ini untuk membetulkan yang salah dan bukan untuk menyalahkan yang betul.  Gunakanlah mesyuarat agung ini untuk mengukuhkan perpaduan dan bukan tempat mengwujudkan perpecahan antara ahli parti. Ingatlah setiap ucapan kita dalam setiap kali mesyuarat agung akan didengar, diingati dan dinilai. Jangan sampai ada ahli parti mendakwa kita "bercakap tak serupa bikin". 

 

Dalam mesyuarat agung atau perwakilan UMNO yang sedang dan akan berlangsung, harapan setiap ahli UMNO mahukan para perwakilan dan pemimpin UMNO dapat memberi ucapan yang bernas dan konstruktif. Elakkan menyentuh hal-hal yang boleh memecahkan perpaduan dalam parti sebaliknya mencadangkan kaedah yang boleh menguatkan parti. Kritikan yang membina dialu-alukan demi untuk kepentingan parti. Jauhkan dari kita memburuk-burukan kawan dan rakan kerana itu tidak memberi faedah kepada parti. Tunjukkan keikhlasan dan kejujuran kita dan buktikan melalui tindakan dan perbuatan. Jadikan mesyuarat sebagai tempat melahirkan idea-idea baru, berbincang menyelesaikan masalah parti,  dan sebaik-baiknya mesyuarat agung boleh merapatkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli parti. Wallahu alam.

 

Penafian

Copyright © 2018 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.