Adnan Yaakob - Sumber Internet

 

Ahli Umno diminta agar tidak mudah mempercayai berita yang disebarkan pihak pembangkang melalui media sosial, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang itu berkata ini kerana kebanyakan isi kandungan daripada media sosial hanya melaporkan berita sensasi serta menggemparkan supaya rakyat resah sekali gus akan menyalahkan kerajaan.

 

"Bagi orang Melayu (kadang-kadang) memang suka mendengar berita palsu dan tidak sahih sehingga ia menjadikan masyarakat kita kurang (gemar) mendapatkan maklumat sahih," katanya ketika berucap melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 Umno Bahagian Cameron Highlands dekat sini, semalam.

Adnan berkata oleh itu, menjadi peranan pemimpin dan anggota Umno untuk mendapatkan maklumat tepat sebelum menyebarkan kepada orang ramai serta pemimpin (Umno) juga mempunyai kewajipan untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

Beliau berkata kepimpinan Umno tidak boleh membiarkan pembohongan dibuat pembangkang itu berterusan kerana Umno merupakan parti keramat yang membela nasib orang Melayu serta keseluruhan rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Adnan meminta pemimpin parti di peringkat akar umbi supaya lebih proaktif turun padang membantu golongan miskin yang memerlukan.

"Apa yang patut kita tolong kita kena tolong selesaikan masalah mereka kerana dengan cara itu rakyat akan terus kasih (kepada Umno) sekali gus memberikan sokongan kepada parti Umno," katanya. – Bernama

Rujukan: Utusan Online 5 April 2017

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.