Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menegaskan, beliau ti­dak mempunyai sebarang kepentingan politik apabila menyampaikan pandangan se­cara umum yang dibuat berdasarkan fakta untuk diketahui rakyat.

Beliau berkata, mufti adalah golongan ulama yang merupakan pewaris nabi dan apa yang disampaikan adalah disebut oleh Rasulullah SAW.

“Apa yang saya sampaikan sebelum ini adalah untuk pengetahuan masyarakat umum dan tidak menyerang peribadi sesiapa termasuk Dr. Mahathir. Saya hanya sampaikan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

“Saya tidak kisah jika sesiapa pun termasuk Dr. Mahathir hendak menyerang peribadi saya, tetapi janganlah menyentuh agama kerana memburuk-burukkan ulama, seolah-olah memburuk-burukkan agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Maha­thir yang juga Pe­ngerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mene­gaskan, beliau eng­gan memohon maaf berhu­bung kenyataannya yang menyifatkan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.

Beliau juga menolak pandangan pelba­gai pihak termasuk Ab­dul Rahman serta mufti-mufti lain yang tidak bersetuju dengan pandangan yang disuarakannya ketika berce­ramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah bulan lalu.

Malah, Dr. Mahathir menuduh pi­hak yang menyangkal dakwaan­nya itu ko­nonnya telah dibayar untuk bercakap demikian manakala mufti menafikannya kerana me­reka di pihak kerajaan.

Sementara itu, di IPOH, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kesal dan enggan membuang masa melayan tuduhan Dr. Mahathir, sebaliknya menegaskan terpulang kepada bekas Perdana Menteri itu dengan pandangannya.

“Kalau beliau tidak mahu minta maaf dan berpegang kepada pendiriannya, itu terpulanglah kepada beliau. Saya tak mahu campur lagi dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, di KOTA BHARU, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad kecewa dengan tuduhan Dr. Mahathir itu dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya.

“Kalau sampai peringkat tuduh kena bayar, tak perlu komen apa-apalah,” katanya.

Rujuk: Utusan Online 9 Januari 2017.