Berita Terkini

Pakatan Harapan kehabisan isu. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada BN. Banyak isu yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan ibaratkan 'ludah ke langit timpa atas batang hidung sendiri'. Pakatan jadi serba tak kena. Isu sendiri tak dapat diselesaikan. DAP masih tidak selesai dengan pemilihan CEC. Ada ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan pemilihan  CEC baru-baru ini. Parti Bunga pula gagal mengadakan mesyuarat agung setelah lebih setahun ditubuhkan oleh Tun Mahathir. Hasrat Tun Mahathir untuk melihat berpusu-pusu ahli UMNO menyertai parti Bunga ternyata sangat meleset. Kini Pakatan Harapan mendampingi Tun Mahathir untuk menang PRU14 akan datang. 

Dahulunya Tun Mahathir dikutuk dengan pelbagai tuduhan liar dan dihina dengan pelbagai gelaran yang melampaui batas kemanusiaan. Tun Mahathir digelar sebagai diktator, Mahafiraun dan Mahazalim. Dari mana gelaran ini bermula? Tidak lain dan tidak bukan gelaran liar ini datangnya daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang sekarang berada di sekeliling Tun Mahathir.

Tun Mahathir hari ini tidak seorang diktator lagi ketika dia tidak lagi jadi Perdana Menteri. Tun Mahathir tidak lagi zalim ketika dia tidak lagi memerintah kerajaan Malaysia sebagai Perdana Menteri. Hari ini Tun Mahathir membuat tuduhan Dato' Seri Najib adalah perompak wang rakyat semasa dia bukan lagi Perdana Menteri. Apa sebenarnya Tun Mahathir mahu? Apa yang Tun Mahathir belum dapat setelah menjadi PM lebih 22 tahun? 

Terbaru, Zaid Ibrahim daripada DAP menyalahkan Umno kerana jutawan Robert Kuok meninggalkan Malaysia pada tahun 80an dan kini berada di Hong Kong. Zaid Ibrahim tidak sedar bahawa Tun Mahathir yang berkuasa pada masa di mana semua isu-isu itu timbul.
Jika Umno yang bersalah, kenapa DAP kini bersekutu dengan Tun Mahathir? Pakatan Harapan tidak nampak atau buat-buat tak nampak bahawa banyak masalah yang berlaku pada hari ini adalah berpunca semasa pemerintahan Tun Mahathir. 

Majoriti rakyat sudah memahami tujuan Pakatan Harapan mendampingi Tun Mahathir bukan kerana Tun Mahathir seorang pemimpin yang mereka sukai. Mereka mahu mendampingi Tun Mahathir untuk memecahbelahkan undi orang Melayu dalam Pilihanraya Umum 14 akan datang. Itu matlamat Pakatan harapan. Kuasa dominan dalam Pakatan Harapan bukan parti Bunga, bukan parti PAN dan bukan parti PKR. DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan. Ini fakta yang tidak boleh disangkal lagi. Tun Mahathir dan lain-lain pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan seolah-olah mahu menutup kelemahan ini hanya ingin menumbangkan kerajaan BN pada hari ini.

 

Pakatan Harapan mendampingi Tun mahathir hanya untuk menyokong mereka mendapat kuasa. Jelas mereka akan gunakan sesiapa pun untuk menang dalam PRU14. Tun Mahathir yang menjadi musuh ketat mereka sekian lama kini diangkat sebagai hero mereka. Inilah sikap hipokrit Pakatan Harapan! Untuk menang Pakatan Harapan sanggup menggadaikan prinsip. Untuk berkuasa Pakatan Harapan sanggup melakukan apa sahaja! Penyokong-penyokong Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) perlu fikir semulai, jangan tersilap lagi. Banyak pengajaran yang kita perolehi. Kita harapkan pagar, pagar yang makan padi!

TASEK GELUGOR, 17 Okt – Zairil Khir Johari telah meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang kerana kemerosotan pasukan itu, Numan Afifi juga telah meletak jawatan dalam Dap kerana keterlibatannya sebagai pejuang LGBT yang dibimbangi merosakkan nama parti, tetapi bilakah Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng mahu meletakkan jawatan kerana telah pun didakwa atas salah laku rasuah dan gagal mentadbir negeri dengan baik, soal Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah.

Jelas beliau, jika sebelum ini desakan meletak jawatan juga sering dilaungkan oleh pemimpin Dap kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah Perdana Menteri juga sering didesak tetapi apabila terkena batang hidung sendiri mengapa mula timbul sikap pilih kasih dan desakan yang sama tidak dibuat terhadap Guan Eng.

“Sebenarnya inilah sikap Dap yang hipokrit dan pilih kasih malah ini juga menggambarkan betapa ‘kebalnya’ Guan Eng sehingga semua ahli jawatankuasa CEC tidak berani bersuara… seharusnya ahli jawatankuasa CEC boleh mencadangkan agar Guan Eng bercuti atau meletak jawatan tetapi nampaknya mereka hanya boneka buat Dap.

“… mungkin kerana itu jugalah isu pemilihan semula CEC sehingga kini tidak selesai disebabkan masih belum jumpa ‘puppet’ yang sesuai untuk diletakkan di posisi masing-masing.

“Dalam kes Guan Eng, yang jelas kes jenayah mereka pertahankan, tak perlu letak jawatan atau bercuti, tapi dalam kes sivil (yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak ada pun dinamakan perdana menteri sebagai defendan, tiba-tiba mereka suruh perdana menteri letak jawatan. Nampak betapa mereka mempolitikkan isu ini dan mereka bercakap tidak konsisten…pilih kasih,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Ujar Nashrol, Guan Eng seharusnya sudah lama bercuti tetapi sikap kuku besi dalam Dap telah mengghalalkan segala cara.

Dilaporkan, Guan Eng sedang berhadapan dengan skandal banglo mewah yang dikatakan telah dibeli di bawah harga pasaran dengan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pembelian banglo pada harga RM2.8 juta itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac tahun lalu bahawa ia dibeli pada harga di bawah nilai pasaran.

Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa lot tanah termasuk tanah Taman Manggis di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Seperkara lagi jelas beliau, berkemungkinan Guan Eng tidak mahu melepaskan jawatannya kerana masih belum berjumpa pengganti yang boleh diperalatkan kerana sekiranya Guan Eng letak jawatan, orang yang paling layak menggantikan tempatnya adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Rashid Hasnon dan P. Ramasamy.

“Dulu Guan Eng pernah menyuarakan harapan agar Pengerusi Dap negeri itu Chow Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya dia dipenjara.

“Di sini mula timbul tanda tanya mengapa bukan timbalan ketua menteri yang dilantik? Kita faham juga Rashid tidak dipilih kerana Rashid adalah dari PKR tetapi P. Ramasamy adalah ahli Dap… mungkin kerana P. Ramasamy bukan sebangsa dengannya jadi dia ‘hilang kelayakan’ sehingga terpaksa memilih Kon Yeow sebagai pengganti.

“Ini juga antara persoalan yang sehingga kini Guan Eng tidak mampu memberi jawapan. Oleh itu nasihat saya kepada para pengundi Pulau Pinang, fikirlah secara matang… adakah Dap masih layak untuk diberi mandat pada pilihan raya akan datang?” soalnya lagi. – MediaUMNO

Adnan Yaakob - Sumber Internet

 

Ahli Umno diminta agar tidak mudah mempercayai berita yang disebarkan pihak pembangkang melalui media sosial, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang itu berkata ini kerana kebanyakan isi kandungan daripada media sosial hanya melaporkan berita sensasi serta menggemparkan supaya rakyat resah sekali gus akan menyalahkan kerajaan.

 

"Bagi orang Melayu (kadang-kadang) memang suka mendengar berita palsu dan tidak sahih sehingga ia menjadikan masyarakat kita kurang (gemar) mendapatkan maklumat sahih," katanya ketika berucap melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 Umno Bahagian Cameron Highlands dekat sini, semalam.

Adnan berkata oleh itu, menjadi peranan pemimpin dan anggota Umno untuk mendapatkan maklumat tepat sebelum menyebarkan kepada orang ramai serta pemimpin (Umno) juga mempunyai kewajipan untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

Beliau berkata kepimpinan Umno tidak boleh membiarkan pembohongan dibuat pembangkang itu berterusan kerana Umno merupakan parti keramat yang membela nasib orang Melayu serta keseluruhan rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Adnan meminta pemimpin parti di peringkat akar umbi supaya lebih proaktif turun padang membantu golongan miskin yang memerlukan.

"Apa yang patut kita tolong kita kena tolong selesaikan masalah mereka kerana dengan cara itu rakyat akan terus kasih (kepada Umno) sekali gus memberikan sokongan kepada parti Umno," katanya. – Bernama

Rujukan: Utusan Online 5 April 2017

Pembangkang sering bercakap Balik Pulau adalah kawasan mundur. Balik Pulau tidak berubah sejak sedekad yang lalu. Selagi Balik Pulau di bawah BN, tiada pembangunan boleh kita saksikan.

Itulah kata pembangkang di Pulau Pinang. Mereka sengaja putar belitkan fakta. Mereka cuba mengelirukan rakyat  di Balik Pulau. Mereka ingat orang Balik Pulau masih duduk di bawah tempurung. Sebenarnya orang Balik Pulau telah melihat sendiri  bentuk pembangunan yang ada di Balik Pulau.

Politeknik Balik Pulau

Politeknik Balik Pulau

Sebenarnya Dato’ Seri Dr. Hilmi  (bekas Timbalan ketua Menteri) kini sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau pernah melahirkan idea menjadikan kawasan Balik Pulau sebagai hub pendidikan untuk negeri Pulau Pinang.  Yang dikata telah dikotakan oleh Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Alhamdulillah, semasa kerajaan negeri (kerajaan BN) dahulu, kerajaan persekutuan telah banyak membantu rakyat Balik Pulau dengan projek pembangunan yang terkawal mengikut kemahuan dan selera orang Balik Pulau.

Untuk tujuan itu Kerajaan Persekutuan telah membina Kolej Vokasional Balik Pulau, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Politeknik Balik Pulau, MRSM, PLKN dan Pusat Giat Mara yang dibina untuk kemudahan belajar anak-anak  Pulau Pinang. Di samping itu, Kerajaan Persekutuan turut membina sebuah Masjid Daerah, Kompleks Sukan Balik Pulau, Mahkamah Majistret, Mahkamah Syariah, Ibupejabat Polis Daerah yang baru dan bercadang membangunkan sebuah RTC  pada masa yang akan datang.

Sebaliknya di bawah kerajaan negeri pembangkang hari ini, rakyat diperlihatkan pembangunan rumah-rumah mewah. Kita tidak mampu membeli tapi hanya mampu melihat!l

Ramai yang sedang melobi untuk menjadi calon PRU14 yang akan datang. Isu melobi untuk mencari calon bukan terhad semata-mata kepada parti kerajaan malahan parti-parti pembangkang lebih dahsyat lagi. Apakah tidaknya, ada parti-parti pembangkang sudah pun menentukan calon Perdana Menteri masing-masing.   Ada pula yang menggigil takut nak sebut calon PM kerana menjaga hati kawan yang lain. Persoalannya kenapa mereka takut menentukan calon PM?

Kegagalan mereka menentukan calon PM yang disepakati bersama akan menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (dulu Pakatan Rakyat). Matlamat utama parti-parti dalam PH tidak sama. Mereka mempunyai matlamat yang tidak jelas dan ternyata berbeda.

Tun Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mahukan Presiden UMNO, DS Najib meletak jawatan sebagai PM. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mahu membebaskan DS Anwar Ibrahim dan akan dilantik sebagai PM. Parti Amanah Negara (PAN) pula mungkinlah akan mengenengahkan Presiden PAN, Mat Sabu sebagai PM.  Manakala DAP bersikap malu-malu kucing, menunggu masa dan ketika yang sesuai.

Begitulah isu parti-parti pembangkang sehingga kini belum mampu dan berani menyatakan calon PM mereka. Ada di kalangan pemimpin utama mereka meminta isu calon PM tidak perlu dibincangkan. Yang penting bagi dia, kalahkan dulu BN selepas itu baru kita bincangkan siapa yang akan jadi PM.  Bagi sesetengah pihak menganggap pernyataan itu sebagai sangat penting kerana jawatan PM merupakan simbol kuasa parti yang memerintah.

Dengan kata lain, mereka mahu menang dahulu kemudian berkelahi. Ini jelas bahawa parti-parti pembangkang tidak sehaluan dan bukanlah pakatan yang mantap untuk mentadbir negara. Mereka tidak berani memberitahu pengundi siapa calon PM dan menteri-menteri kabinet mereka. Selain akan dapat bantahan di kalangan pemimpin parti, mereka sangat bimbang jika bantahan itu menular kepada penyokong-penyokong parti masing-masing. Jika ini berlaku sudah tentulah usaha menawan Putrajaya akan gagal.

Rakyat dapat lihat pemimpin PH sangat berhati-hati dalam membincangkan isu calon PM. Mereka sedar bahawa akan berlaku perbalahan yang serius, pertelingkahan yang amat dahsyat dan pasti boleh menghancurkan pakatan jika calon PM dibincangkan. Baru satu isu calon PM, parti-parti pakatan masih tidak boleh duduk semeja berbincang dan membuat satu keputusan yang muktamad untuk pengetahuan rakyat. Mereka takut hilang undi dan gagal ke Putrajaya. Mereka tidak takut perbalahan yang akan rakyat tanggung jika berlaku krisis kepimpinan negara. Soal PM dan menteri-menteri yang akan dilantik serta dasar kerajaan baru Pakatan Harapan belum dapat kata sepakat.  Bagi mereka ini tidak penting. Yang penting bagi mereka menang dahulu dalam PRU14 akan datang.

Jika inilah kesepakatan yang dicapai di kalangan pemimpin PH, nasib rakyat sedang diperjudikan oleh pemimpin PH. Ibarat kata pepatah Melayu, “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Para pengundi perlu berhati-hati dan jangan terburu nafsu, “Takut yang dikendung keciciran dan yang dikejar pula tak dapat”. Soal negara bukan perkara yang boleh main-main. Akibat kesilapan memilih kerajaan bahananya terkesan sehingga ke cucu cicit.

Berwaspadalah, fitnah melampau-lampau dari pihak pembangkang kerana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN. Setelah demontrasi jalanan tidak mendapat sokongan, fitnah ditabur melalui media sosial tanpa batas. Hingga ada pemimpin Melayu (bukan mufti) bercakap soal agama bagaikan fatwa kerana menjaga kepentingan politik kepartian. Ada pemimpin utama PH mengakui kerja mereka menghasut rakyat setiap hari supaya rakyat benci kerajaan. BR1M dikatakan rasuah, harga petrol naik dicaci dan dimaki sebaliknya mereka diam sepi bila harga petrol jatuh! Begitulah pembangkang di Malaysia yang kita kenali mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara tanpa menghiraukan kesan buruk kepada ekonomi negara. Itulah juga matlamat mereka untuk mendapat sokongan rakyat. Rakyat Malaysia tidak keliru dengan mainan politik pembangkang, Insya Allah!

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.