Baru-baru ini saya berkesempatan berjumpa dan berdialog dengan guru-guru muda Daerah Barat Daya. Dalam perjumpaan itu, ada seorang guru muda bertanya soalan kepada saya. Soalannya "Mengapa UMNO tidak membuka keahlian kepada golongan guru?. Katanya lagi "Pemimpin pemuda pembangkang begitu agresif berjumpa dengan saya beberapa kali hingga ke tahap merayu dan memujuk untuk menjadi ahli parti dan pengundi. Oleh kerana nak jaga hati mereka, saya daftar dulu sebagai pengundi". 

 

Berdasarkan soalan dan keluhan guru muda itu telah memberi banyak andaian yang perlu kita hayati. Antara andaian yang dapat diberikan ialah:

 

1.  Kepimpinan UMNO tidak mendekati golongan muda.

         Kepimpinan UMNO sama ada pemuda mahu pun puteri mungkin tidak mengadakan program daftar keahlian baru UMNO secara agresif dan berterusan. Termasuklah di kalangan guru-guru muda turut tidak merasakan diri mereka dipelawa untuk menyertai parti UMNO. Realitinya, sukar kita mendapatkan seorang guru muda menjadi ahli UMNO di sesebuah sekolah sama ada di sekolah rendah mahupun menengah.

 

2.  Kita sudah melabelkan guru-guru kebanyakan pro pembangkang.

             Usaha mendekati golongan ini jadi 'terencat' jika sudah ada persepsi bahawa mereka adalah pembangkang. Pemuda dan puteri seperti tiada berkeyakinan untuk mempengaruhi golongan ini mendekati UMNO. Oleh itu usaha memujuk mereka akan menjadi suatu kerja yang sia-sia sahaja. Mungkinlah kerana itu golongan ini semakin jauh dengan UMNO.

 

3.  Takut pengaruh guru menguasai parti.

              Tidak dinafikan bahawa pengaruh guru amat besar di kalangan komuniti. Apatah lagi jika guru itu merupakan guru tempatan yang aktif dalam NGOs dan mempunyai profil yang baik di peringkat PPD dan JPN. Rata-rata pula guru-guru muda hari ini sudah memiliki dua (2) jenis ijazah yang menyebabkan kita merasa 'gerun' untuk menerima mereka. Bimbang kita akan kehilangan pengaruh dan seterusnya jawatan dalam parti.

 

Berdasarkan andaian di atas ada kebenarannya jika dikaji dengan lebih mendalam. Hari ini pun jika kita tinjau setiap buah sekolah memang sukar untuk mendapatkan sekurang-kurangnya seorang guru menjadi ahli UMNO. Jika pun ada hanyalah seorang dua sahaja di sesebuah sekolah. Yang ramai guru-guru di sesebuah sekolah itu menjadi ahli parti manakah mereka? Begitu juga di kampung-kampung dan di taman-taman perumahan, bilangan guru yang melibatkan diri mereka dalam politik UMNO sangat kecil bilangannya. Apakah benar golongan guru rata-ratanya menjadi penyokong kepada parti pembangkang? Jika dakwaan ini benar, apakah salah guru kerana memilih parti pembangkang? Masalah ini perlu difikirkan oleh pemimpin UMNO jika mahu melakukan transformasi politik dalam UMNO secara jujur.

 

Dalam bulan yang lalu, sekali lagi saya berkesempatan mendengar perbualan ketua-ketua jabatan kerajaan tentang soal PRK Pengkalan Kubur semasa waktu rihat. Salah seorang ketua jabatan di Selangor menceritakan kisah seorang guru yang ada ketokohannya tapi kecundang dalam pemilihan bahagian. Kenapa begitu? Katanya guru itu tidak mengujudkan kroni. Kerana tiada kroni, guru itu kalah walaupun ada ketokohannya. Tapi dakwaan itu disangkal oleh seorang ketua jabatan dari Kelantan dengan mengatakan kroni belum kuat menentukan seseorang calon itu dipilih. Ketua jabatan ini pula mendakwa wang adalah raja segalanya. Saya tinggalkan di sini untuk renungan semua pihak dalam UMNO.

 

Selepas PRK Pengkalan Kubur, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata , pemuda PAS akan mempergiatkan lagi usaha untuk meraih sokongan anak muda bagi persediaan PRU14 akan datang walaupun berdepan kekalahan semasa PRK Pengkalan Kubor, baru-baru ini.

Katanya lagi “Kita menyedari banyak faktor kekalahan baru-baru ini, terutamanya ialah kita berhadapan dengan jentera kerajaan pusat, sekali gus memperlihatkan sokongan terutamanya daripada golongan muda semakin menurun.

Oleh itu pemuda dan puteri UMNO perlu melakukan transformasi minda dan transformasi politik jika jujur untuk memantapkan UMNO menjelang PRU14 yang akan datang. Tiada golongan profesional dicicirkan dalam arus perjuangan UMNO. Ingatlah mereka juga bangsa Melayu dan beragama Islam dan mereka juga mempunyai hati dan perasaan untuk melihat anak didik mereka maju dan berjaya dalam pelbagai bidang. Mungkin mereka tidak didekati, membiarkan mereka dihampiri oleh pemimpin pembangkang yang rakus mencari pengaruh dari masa ke semasa.

 

Bangkitlah pemuda dan puteri dari tidur lena yang nyenyak. Tinggalkan hidup selesa kalian ke sana ke sini menampilkan muka bersama pemimpin atasan. Turunkan ke bawah, sintingkan lengan, bekerja kuat kerana pengaruh golongan muda penentu mati dan hidupnya perjuangan parti dalam PRU yang akan datang. Jika orang muda biarlah pemuda dan puteri selesaikan. Jika orang dewasa biarlah wanita dan cawangan UMNO yang bereskan. Dapatkah kita lihat pemuda dan puteri UMNO Bahagian telah bergerak ke arah itu?. Apa cerita jika masih tunggu dan lihat. PRU semakin hampir. Jangan sampai kata orang Melayu, 'dah nak terberak baru nak gali lobang'. Masa tidak menunggu kita.

 

 

 

 

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.