Kita pernah dengar orang kata, " Ramai orang boleh jadi seorang ketua tapi tidak ramai yang mampu jadi seorang pemimpin". Mungkin kebanyakan orang beranggapan ketua dan pemimpin itu adalah serupa. Ketua UMNO boleh juga disebut sebagai pemimpin UMNO. Nampak serupa tapi sebenarnya tidak serupa. Pengertiannya jauh beza. Peranan seorang ketua dan pemimpin juga tidak sama. Seseorang pemimpin itu boleh dilihat sebagai seorang ketua tetapi seseorang ketua itu tidak boleh dilihat sebagai seorang pemimpin. Ini bermakna definisi pemimpin itu lebih luas dan merangkumi peranan seorang ketua.  

 

Menjadi seorang ketua bahagian nampaknya lebih mudah. Begitu juga mudahnya menjadi seorang ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri. Ramai calon menawarkan diri menjadi seorang ketua. Bersaing sesama sendiri untuk merebut sesuatu jawatan dalam parti. Sama juga berlaku dalam parti pembangkang malahan lebih teruk lagi! Kenapa? Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit, kawan menjadi lawan, kempen siang dan malam, berjanji bulan dan langit hanya merebut sesuatu jawatan ketua dalam parti. Mereka yang banyak wang dan kaya raya mudah mendapat tempat dalam parti. Ahli-ahli parti hari ini sudah diasuh dan termakan budi dengan jasa 'upah' yang diberi oleh ketua. Upah dan elaun sudah menjadi suatu yang lumrah dalam aktiviti kepartian. Itu sebabnya ada Ahli Jawatankuasa parti tidak segan silu bertanya tentang sesuatu upah dan elaun dalam mesyuarat. Begitulah budaya wang yang mungkin sudah sebati dengan ahli-ahli parti pada hari ini. 

 

Persoalannya, apakah pemimpin seperti ini mahu dilahirkan untuk masa depan UMNO yang lebih gemilang? Pemimpin yang hebat mempunyai pengaruh dan pengikutnya yang menghormatinya bukan kerana wangnya yang banyak tetapi ketokohan, kewibawaannya, kepandaiannya, sifat merendah diri, jujur, dipercayai, bertanggungjawab, menghormati kawan dan lawan serta tidak riak, sombong dan ujub serta tawadhunya kepada perintah Allah swt. Jika inilah pemimpin yang kita kehendaki, kita akan hadapi masa depan yang semakin sukar. Parti kita akan kehilangan pengaruh. Ahli-ahli parti akan lari dan meninggalkan parti kerana ketuanya bukan pemimpin seperti yang dikehendaki. Parti akan jadi lemah kerana pengaruh parti hanya melengkari di kalangan kroni semata-mata. Parti lemah tidak akan menguntungkan sesiapa. Jika parti Melayu maka orang melayu yang akan rugi. Paling menggerunkan, parti bukan Melayu lebih berpengaruh. Dan tidak mustahil kita akan diperintah oleh bangsa yang lain pada suatu hari nanti.

 

 

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.