Dalam politik umumnya orang muda lebih agresif. Maklumlah mereka darah muda dan tenaga kudrat masih kuat. Kalau kita kata orang muda kurang berpengalaman, ada yang akan melenting. Orang muda tidak boleh ditegur. Darah orang muda cepat panas, suhu kemarahan cepat naik. Mereka rasa mereka lebih bijak. Mereka kata pemikiran orang-orang lama tidak sehebat dengan mereka. Itulah pemikiran politik sesetengah orang muda.

Maklumlah orang muda hari ini berkelulusan tinggi. Bukan seperti kami hanya lulus SPM ataupun ada yang kelulusan Darjah 6 sahaja. Inilah yang menyebabkan mereka ini riak. Mereka tidak kenal lagi orang tua atau orang lama dalam politik. Pandangan orang tua tak berapa boleh diterima. Ada yang kata pandangan kami sangat kolot.

Baru setahun jagung dalam politik. Belum jadi wakil rakyat dan pemimpin besar sudah tunjuk sombong. Mereka buat apa yang mereka suka. Seolah-olah politik parti itu mereka yang punya dan mereka yang berkuasa. Tiada hormat lagi kepada ketua dan pemimpin mereka. Tidak ada segan dan malu. Jika jadi pemimpin esok hari, parti itu boleh lingkup.

Mereka nampak jawatan politik untuk mengejar impian diri mereka. Sebagai batu loncatan untuk mencari kepentingan peribadi. Untuk kekayaan, kemewahan atau untuk kepentingan masa depan politik peribadi. Kita nampak dan rakyat sedang memerhati mereka. Gaya hidup mereka lebih hebat daripada seorang pensyarah universiti sedangkan pekerjaan tidak diketahui pun. Kita tidak berdengki tetapi kita bimbang pemimpin muda sudah terasuh dengan hidup mewah. Jika dia usahawan apa produk perniagaannya. Dan jika dia seorang korporat, di mana pula syarikatnya beroperasi? Timbul seribu persoalan hanya mereka sahaja ada jawapannya.

Betul kata sesetengah orang, kita mesti kenal 'orang besar' jika untuk berjaya dalam politik. Kita mesti rapat dengan 'orang kanan' Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO atau Setiausaha Agung UMNO serta naib presiden dan juga ahli MT UMNO. Lebih ramai mereka kenal kita lebih senang, lebih mudah dan peluang yang lebih baik untuk dicalonkan dalam PRU yang akan datang. Ini kerja orang muda politik. Mereka berkeupayaan untuk berkampung dan meninggalkan kampung halaman. Mereka jarang ada di kampung. Di kampung tidak ada apa? Di kampung ada jalan-jalan yang pecah dan rosak yang perlu dibaiki, ada orang susah perlu dibantu, banjir sering berlaku semasa hujan lebat, kenduri kahwin dan ziarah kematian yang perlu menghulurkan wang. Apakah ada orang politik muda seperti ini. Jika ada, baguslah dan selamatlah parti kita.

Itu sebabnya ada antara politik orang muda tidak kisah untuk 'turun padang' jumpa masyarakat sebab mereka sudah belajar mencari jalan yang singkat (short-cut way) dalam politik. Sesetengah mereka tidak kisah banjir di kampung, kenduri kendara di kampung kerana itu jalan yang sukar bagi mereka.Lagi pun terasa segan dan malu kerana selama ini pun sangat jarang atau pun tidak pernah meredah air bah di kampung-kampung. 

Ada di antara mereka semakin tinggi kedudukan mereka, semakin sombong. Maklumlah mereka sudah jadi orang besar. Mereka lebih kenal menteri daripada imam di masjid. Imam tidak kenal dia tak apa, yang penting menteri yang kenal dia. Orang kampung tidak kenal dia tak apa, yang mustahak AMT kenal dia. Di sana sini mereka menjaja telah jadi pegawai khas menteri itu dan ini. Mereka bangga kerana itulah cita-cita mereka. Di kampung tidak sehebat mana tapi di luar sana jadi 'orang besar'.  Oleh kerana sangat sibuk di KL, dapatlah balik kampung sekali sekala.

Inilah realitinya segelintir politik orang muda hari ini. Sama-samalah kita fikirlah apakah generasi orang muda seperti ini mahu dilahirkan untuk UMNO?

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.