Ikut Kamus Dewan 'jemuan' membawa maksud sangat jahat. Dalam konteks UMNO ahli UMNO yang sangat jahat yang boleh memporakperandakan UMNO dikatakan sebagai 'jemuan-jemuan'. Najib sebagai Presiden Umno menegaskan jika UMNO dapat ketepikan jemuan-jemuan ini, perpaduan dalam UMNO dapat dikekalkan. Ini bererti jika jemuan-jemuan ini ada dalami UMNO,  ahli-ahli UMNO akan berpecah sesama sendiri. Umno akan jadi lemah dan akhirnya calon Umno akan kalah dalam PRU yang akan datang.

 

 Mengikut Najib lagi, jemuan-jemuan ini lebih teruk lagi daripada tukang kipas atau batu ronson (batu api penghasut) kerana mereka beradu domba sesama sendiri di kalangan ahli UMNO dan akhirnya ahli UMNO berpecah dan parti akan jadi lemah.

Oleh itu peringatan Najib selaku presiden UMNO perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pemimpin dan juga ahli UMNO. Seboleh-bolehnya tidak ada jemuan-jemuan dalam UMNO khasnya dalam UMNO Bahagian Balik Pulau. Jika ada pemimpin UMNO yang bertindak secara 'tidak beradab' dan hipokrit serta 'baling batu sembunyi tangan' bolehlah dianggapkan sebagai jemuan dalam UMNO.

 

Sudah tentulah tidak akan ada pemimpin yang mahu mengakui dirinya sebagai jemuan. Oleh itu tugas sebesar ini sudah pastilah terletak di tangan ahli UMNO yang mengundi dan memilih mereka sebagai pemimpin UMNO. Ahli UMNO perlu menolak atau singkirkan terus jemuan-jemuan ini daripada dalam UMNO. Bahayanya lebih dahsyat.

 

Tanpa memikirkan siapa jemuan-jemuan ini, ahli-ahli UMNO perlu sepakat dengan satu tekad dan hasrat untuk menyingkirkan jemuan-jemuan ini. Biarpun banyak 'jasanya', demi perpaduan dan kekuatan parti UMNO keputusan perlu dilakukan walaupun ianya sangat pahit.

 

Selaku ahli UMNO yang bijaksana, yang tidak mudah 'dijualbeli' dengan wang ringgit dan janji-janji manis, dan seumpamanya perlulah juga dengan bijaksana menilai pemimpin yang ikhlas dan jujur, dan pemimpin yang mengutamakan parti serta bukan untuk kepentingan diri sendiri. Ingatlah UMNO akan kehilangan pemimpin yang berwibawa, UMNO juga akan kehilangan pemimpin yang ikhlas dan jujur, UMNO akan musnah jika jemuan-jemuan yang dikatakan oleh Dato Seri Najib itu tidak disingkirkan. Semua ahli UMNO perlu menyatakan pendirian tegas untuk tidak membenarkan jemuan-jemuan seperti itu wujud dalam UMNO Balik Pulau. 

 

Tulisan ini tidak ditujukan kepada mana-mana ahli dan pemimpin UMNO khasnya di bahagian Balik Pulau sebaliknya satu peringatan  untuk diri penulis dan semua ahli-ahli UMNO supaya UMNO lebih kuat dan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan dalam PRU yang akan datang..

 

Penafian

Copyright © 2017 BP. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU General Public License.